BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Sunday, May 30, 2010

Top 5 in mind!

Duhai teman dan tuan-puan
Mari kita berpesan-pesanan
Baik lelaki juga perempuan
Duduk di kampung atau di pekan
Zaman ini zamam kemajuan
Kebendaan menjadi ukuran
Hidup saling bersaingan
Jika lalai tinggal sendirian

Nabi junjungan pernah berpesan
Agar hidup ada pegangan
Semak selalu jangan lupakan
Agar tak susah di hari kemudian
Kena diingat lima perkara
Sebelum tiba lima perkara
Semoga hidup aman bahagia

Waktu lapang buatlah amalan
Sebelum sibuk pelbagai urusan
Isilah dengan amal kebajikan
Menuntut ilmu dan baca Al-Quran

Waktu senang beringatlah
Sebelum tiba waktunya susah
Jika datang ancaman musibah
Mampu bersedia selesai masalah

Bila sihat jagalah badan
Sebelum derita sakit tak keruan
Kawallah makan untuk kesihatan
Ringan ibadah nak dikerjakan

Jika kaya bermurah hati
Dapat pahala menolong orang
Jikalau miskin apa pun tak ada
Waktu kita hidup di dunia
Sediakan bekalan sebelum mati
Walaupun susah banyak halangan
Tabah dan sabar Allah kan sayang

Ingat-ingat kita semua
Jangan mudah sombong diri
Insafilah pesanan ini
Untuk kita suluh diri
Semoga lembut hati kita
Untuk taat dan berbakti
Dari Allah kita datang
Kepada Allah kita kembali

p/s: menghargai waktu lapang yang masih bersisa...mudah2an waktu lapang ini diisi sesungguhnya dengan banyaknya amalan dan ilmu....permudahkan Ya Allah!



Friday, May 21, 2010

Ketenangan yang pasti

Bismillahirrahmanirrahim.
Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih.


Saat itu
hati ku resah
hati ku gelisah
fikiran ku buntu
Noktah!

Tidak semena-mena ku selak helaian kitab itu
nota fikir untuk zikir
ku baca, ku tatap, ku hayati
bab demi bab
sehingga sampai pada helaian 34 yang membujuk aku
memujuk hati dan fikrah ini
agar melenyapkan keresahan itu
melenyapkan kekacauan itu

Firman Allah:
"Ketahuilah dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang."
(Surah Ar-Ra'd:28)
Persoalan dibangkitkan
"Bagaimana hati seseorang boleh menjadi tenang dengan mengingati Tuhan?"

Abstraknya ku coretkan di sini agar menjadi zikir/peringatan buat diri ku dan juga kalian.

Apabila hati mengingati Tuhan maka seseorang itu akan sedar, insaf dan faham apakah maksud ketentuan dan takdir Tuhan yang telah menimpa dirinya. Apabila ditimpa musibah, dia sedar bahawa itu adalah ketentuan daripada Allah yang wajib diterima atas sifatnya sebagai hamba Allah.

Dalam hatinya dia berkata
'TAKDIR SENTIASA MENGATASI TADBIR."

Tentu ada hikmah di sebalik kepahitan ini.
Dia tidak akan menyalahkan dirinya, orang lain, apalagi Tuhan atas nasib yang menimpanya.

Kerana apa?
Kerana dia sedar, sebagai hamba dia hanya mampu berusaha tetapi ketentuan di tangan Allah.


Maka dengan keyakinan yang sebegini, seseorang itu akan merasai satu ketenangan dan kelapangan yang menjadikan dia tidak mudah untuk marah-marah dan kecewa dalam hidupnya. Dia yakin semua takdir Allah itu adalah baik kerana ia datang daripada Allah (Yang Maha Pengasih) walaupun dilihat secara lahiriahnya kelihatan negatif. Sebab itu kita diajar mengucapkan

"innalillahi wa inna ilaihiraji'un"
Kami datang daripada Allah dan kepada Allah jua kami akan dikembalikan.
Tegasnya, ucapan ini mengingatkan kita bahawa kita adalah hambaNya.

Maka jika kita sedar akan hakikat itu, layakkah kita sebagai hamba untuk 'memberontak' menentang sebarang ketentuan Allah?

Renung-renungkanlah. Firman Allah:
"Boleh jadi kamu membenci sesuatu tetapi ia amat baik bagi kamu dan boleh jadi (juga) kamu menyukai sesuatu tetapi ia amat buruk bagi kamu. Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui."
(Surah Al-Baqarah:216)


Di akhir kalam itu, kata-kata pujukan dari ahli sufi seolah meresap masuk ke nubari ku dan mengingatkan aku tentang hakikat sebenar kehidupan.

"Carilah syurga yang disegerakan di dunia (Al-Jannatul Ajilah) yang berupa ketenangan hati kerana barangsiapa yang tidak mendapat syurga di dunia lagi, maka sukarlah ia mendapat syurga di akhirat nanti!"


Sumber: Nota Fikir dan Zikir dari Ustaz Pahrol Mohd Juoi


Tuesday, May 18, 2010

Pesan Atok: Memandang Mulia

Gambar 1 (Mula.)

Gambar 2 (bersambung.....)

Gambar 3 ( akhir)

Komik ini diambil dari I LUV ISLAM.COM

Penyampaian yang sangat mudah dan santai oleh pelukis membuat aku tertarik untuk berkongsi pada kalian tentang topik "Memandang Mulia".


Mungkin agak sukar untuk membaca tulisannya, tapi jangan risau.


Klik sahaja pada setiap gambar berkenaan dan selamat membaca komik!
(^_^)




p/s: saiz ni je paling besar boleh upload...hehe...kene bersusah-susah sikit nak bace, tapi xpe USAHA TANGGA KEJAYAAN...!

Monday, May 17, 2010

Ibarat tanah dan hujan

Assalamu'alaikum wbt buat kalian pengunjung blog ini.......


Entri kali ni just nak berkongsi tentang satu artikel yang saya baca dalam kolum HADIS sebuah majalah ilmiah (SOLUSI) berkaitan hidayah, ilmu dan juga manusia. Artikel yang agak menarik kerana kupasannya yang mudah dan dapat difahami secara terus.


@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@


Dalam sebuah hadis sahih (Riwayat Al-Bukhari no. 79 dan Muslim no. 6093), Rasulullah saw telah membuat satu perumpamaan tentang hidayah dan ilmu yang dibawa oleh Baginda untuk seluruh alam diibaratkan seperti 'hujan'. Manakala hati-hati manusia pula Baginda ibaratkan seperti "tanah".

Secara ringkasnya dapat difahami bahawa:

---> Hidayah dan Ilmu- hujan yang lebat dan turun menimpa bumi

---> Manusia - tanah di bumi

Tidak terhenti di situ, Rasulullah saw lalu membahagikan pula tanah-tanah bumi yang menerima hujan ini kepada 3 jenis.


::::PERTAMA::::

Maksud hadis:


"Di antara tanah itu ada yang suci dan baik boleh menerima air, lalu tumbuhlah di atasnya rumput-rumput dan tumbuhan yang banyak."


Penjelasan:

Mereka ialah manusia yang menerima ilmu dan hidayah daripada Allah swt lalu beramal dan memanfaatkannya untuk diri mereka. Malah kesan ilmu dan hidayah itu bukan sahaja untuk diri, malah mereka memanfaatkan juga orang lain yang berada di sekeliling mereka dengan mengajarkannya dan menyebarkannya.


@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@



::::KEDUA::::

Maksud hadis:


"Di antara tanah itu pula ada yang tidak menumbuhkan tanaman, ia menakung air, maka dengannya Allah swt memberikan manfaat kepada orang ramai, mereka minum, memberi minum dan juga bercucuk tanam."


Penjelasan:


Inilah golongan yang juga baik. Walaupun mungkin mereka tidak begitu mengambil faedah daripadanya atau ilmu itu tidak begitu berkesan pada diri mereka, namun mereka berjaya menyebarkannya dan menyampaikannya kepada orang lain. Maka dengan itu ramai manusia yang mengambil faedah malah lebih baik daripada dirinya. Namun tidak mengapa kerana sekurang-kurangnya kelebihan menyampaikan ilmu tetap menambakan sahamnya di akhirat.



@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@

::::KETIGA::::

Maksud hadis:


"Dan hujan itu menimpa pula satu jenis tanah lagi, ia hanyalah tanah gersang, tidak mampu menakung air dan tidak pula menumbuhkan rumput."


Penjelasan:


Mampukah kita berkata apa-apa lagi tentang golongan ketiga ini? Sudahlah tidak mahu menerima ilmu, dirinya juga tidak memberikan apa-apa manfaat kepada orang lain.

@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@



Di akhir bicara, Baginda saw telah membuat kesimpulan jenis tanah-tanah tersebut. Yakni maksud hadis yang berbunyi:


"Begitulah diibaratkan seseorang yang memahami agama Allah dan dirinya mendapat kebaikan daripada apa yang Allah berikan kepadaku. Dia mengetahui lalu mengajarnya kepada yang lain. Begitu jugalah diibaratkan pula seseorang yang tidak mempedulikan apa yang diberikan kepadaku dan tidak menerima petunjuk Allah yang diutuskan aku dengannya."


***************************************************************************

Golongan manakah kita? Hanya kita yang mengetahuinya.

Mudah-mudahan kita sentiasa dipandu hidayah-Nya bersama-sama ilmu yang kita cuba perbaiki dari hari ke hari.

Moga Istiqamah! Wallahu'alam.


Thursday, May 13, 2010

Baik yang Terbaik...?


"Orang yang baik pun belum tentu boleh jadi yang terbaik".
Kata seorang hamba Allah.

Kata-kata yang mulanya tidak difahami untuk seketika waktu.
Penjelasan diminta.

"Orang yang baik tak semestinya dapat jadi yang terbaik".
Diulangi nya lagi tetapi dalam susunan kata yang berbeda.

Otak ku mula ligat memproses idea penafsiran. Mungkin sedikit pemahaman. 20% barangkali.

Hamba Allah meneruskan bicaranya lagi.

"Terbaik dalam mencapai apa yang diingini. Tak semua apa yang kita nak kita akan dapat walau baik sekali mana pun kita. Terbaik dari semua segi. Tidak ada yang sempurna di dunia ni..."

Aku cukup mengerti setelah itu. Benar katanya itu. Secebis motivasi terselit di situ walaupun tidak 'direct'. Mungkin kita telah berusaha menjadi sebaik mungkin, tapi ungkapan baik adalah subjektif. Boleh jadi berbagai tafsiran datang dari perkataan "baik".

Ada orang baiknya begini, ada yang baiknya begitu. Terpulang kepada penilaian seseorang.


Namun bicaranya di sini adalah ingin mengingatkan diri sendiri dan kalian. Hidup tidak semestinya indah sentiasa. Pasti ada pasang surut umpama laut. Itu salah satu ciptaan alam yang mengajar manusia tentang kehidupan. Walaupun tidak dapat menjadi yang terbaik dalam semua perkara, tetapi ingat lah bahawasanya kita boleh berusaha menjadi yang terbaik dalam setiap kebaikan yang kita lakukan. Istiqamah atas perkara kebaikan walaupun sedikit. Mudah-mudahan di beri ganjaran oleh-Nya.



p/s: Buat si hamba Allah, Syukran atas nasihat yang sedikit ini, hati ini sangat terkesan dengannya. Moga hidayah Allah sentiasa bersamamu...InsyaAllah....

Monday, May 10, 2010

Di sebalik P.E.N.S.I.L

Ahad. 9 Mei 2010.Hari pertama di rumah setelah berakhirnya kehidupan di kampus.

Petang ini, Pesona 3 di TV3 memaparkan cerita “Pensil”. Dengan tidak semena-mena cerita ini telah menarik perhatianku untuk melekat di kaca TV selama 2 jam. Lagu intro nya sahaja telah membuat hatiku agak rawan. Tidak pasti. Mungkin kerna liriknya yang beberapa kerat itu.

Kisah ini menceritakan seorang anak istimewa, Badrul yang digelar budak gelap di kampungnya. Sangat sayangkan ibunya.Cacat dan terencat akalnya. Mulanya aku tidak pasti apakah puncanya. Bertanyakan kepada ibuku, tetapi tiada jawapan yang pasti. Mungkin disebabkan cerita ini tidak menceritakannya. Namun, setelah ku amat-amati kisahnya, Badrul menghidap demam panas di waktu kecilnya. Sehinggakan ayahnya mencari ubat untuknya dan untuk itu ayahnya meninggal dunia akibat kemalangan dilanggar lori. Pernyataan ini yang sering diulang-ulang oleh makciknya sehingga Badrul dikatakan membawa sial atau nasib buruk kepada keluarganya.

Menariknya cerita ini kerana tajuknya membuatku tertanya-tanya-kenapa “Pensil”? Apakah cerita disebalik nama alat tulis yang biasa-biasa itu. Kalau tidak silapku, kisah “Pensil” ini pernah dibukukan di dalam antologi sastera dalam Bahasa Inggeris untuk Tingkatan berapa aku tidak pasti. Macam pernah ku baca, tetapi itu sudah berapa tahun yang lalu. Mungkin 10 tahun yang lalu barangkali. Isinya pun tidak ku ingat langsung. Namun, melalui kisah “Pensil” ini baru ku tahu mengapa “Pensil” dan kenapa tidak yang lain.

Jikalau kita ditanya sekarang apakah barang kesukaan kita, mungkin jawapannya pelbagai. Ada yang mungkin sukakan kereta, telefon bimbit canggih, MP3 player dan yang sebanding dengannya. Aku tertarik dengan jawapan Badrul ketika ditanya neneknya, apa benda yang Badrul suka? Jawapan Badrul- mak! Sayang mak! Ketawa si nenek, langsung dibalasnya “Itu manusia, kalau benda?”

Badrul lantas mencapai sebatang dahan kecil dan diukirkan nama benda yang disukainya--- P.E.N.S.I.L. Ya..pensil! Aku tidak pernah terbayang akan menyukai sebatang pensil. Ada apa pada pensil hingga perlu disukai sebegitu rupa. Tetapi aku silap. Kesempitan hidup dan kesukaran hidup apabila sering dicaci, dimaki, diherdik oleh orang-orang disekelilingnya termasuk ibu tirinya sendiri tidak membuatkan dia mengimpikan yang mewah-mewah. Dia sedar letak duduknya di mana di pandangan manusia. Cukup apabila dia tahu akan kesukaan dan kehendaknya. Anugerah seni yang di beri oleh Allah padanya sudah cukup menggambarkan hasil seninya dengan melukis potret. Tidak hairanlah Badrul begitu sukakan pensil; setiap kali ke kedai pasti dia akan membeli sebatang pensil hasil jualan bubur kacang hijau yang dia bikin sendiri. Dan kerana PENSIL itulah dia begitu menghargai kebolehan yang ada padanya sehingga diberi galakan oleh neneknya supaya keluar dari kesempitan hidup itu dan cari rezeki dengan kebolehnnya itu. Mudah-mudahan.


Kisah ini tidak hanya berkisar pada sebatang pensil. Aku cukup terharu dan tidak semena-mena menitiskan air mata melihat kehidupannya yang tidak putus-putus di datangkan ujian dan dugaan. Badrul mampu memberi keinsafan kepada seseorang yang hampir-hampir putus asa sehingga ingin membuat perkara yang bertentangan dengan landasan Islam. Disebabkan kehidupan silam yang pahit dan dosa yang dilakukan darah daging sendiri, perlukah kita menjejaki dan mewarisi perkara yang sama? Aku berfikir sendiri. Jawapannya pasti TIDAK. Cukup meruntun perasaan pabila Badrul menenangkan sahabatnya itu hanya dengan meminta sahabatnya mengingati Yang Esa. Diukirkan di atas tanah kalimah “ALLAH”. Sering dia ingatkannya dengan lafaz – Ingat ALLAH, ALLAHU-AKBAR!!! Dipeluknya hamba Allah itu dengan penuh sifat sayang atas dasar kemanusiaan.

Terkadang aku terfikir pabila melihat kehidupan Badrul yang begitu sukar untuk bernafas dalam kehidupan tatkala diselubungi hasad dan dengki orang-orang sekelilingnya; takkan tiada langsung orang yang baik dan kasihankan si Badrul ini…? ALLAH itu Maha Adil dan Penyayang buat hambaNya….

Kehadiran si Nenek yang cukup baik pada Badrul sekurang-kurangnya si anak ini ada tempat meluahkan rasa yang ditanggung. Bayangkan tiada seorang pun disisi untuk meluahkan rasa yang ditanggung, pasti tiada kekuatan untuk meneruskan hidup. Hanya Allah sebagai pengharapan tatkala itu.

ALLAH, ALLAH, ALLAH!

Sungguh terkesan kisah kehidupan ini buatku. Mungkin juga sama buat kalian yang menonton kisah yang sama. Bukan hanya pada nama kisah ini, tapi apalah salahnya andai iktibar dari kisah itu juga kita serapkan ke dalam diri kita. Banyak mesej yang sampaikan dan terpulang pada kita untuk mengambil semua atau salah satu darinya. Insya-Allah.


P/S: Kehidupan dalam lakonan semata-mata juga mampu menjadikan kita lebih berfikir tentang kehidupan realiti, renung-renungkanlah…! Hakikatnya, kita adalah pelakon dalam kehidupan dunia ini….

Followers

Rapuh-Opick