BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Friday, October 22, 2010

MUTUALISM - memang berbaloi..!


Dua konsep timbal-balik yang cukup mudah. Meminta maaf dan memberi maaf. Kalau dilihat dari sudut saintifik yang seakan-akannya mungkin sahaja membawa kepada mutualism.


MUTUALISM??? Jom kita selak sebentar kamus saintifik.

Mutualisme is a relationship in which both the organisms benefit from it.

Terjemahannya ialah suatu hubungan di mana kedua-dua organisma mendapat faedah daripada hubungan itu.

Wah…kedengarannya begitu mudah, bukan? Tapi bukan istilah saintifik ini yang ingin diselami cuma sekadar mendatangkan idea baru yang seakan-akan mudah untuk kita lihat betapa sudut meminta dan memberi maaf adalah konsep yang cukup mudah untuk disebandingkan dengan hubungan mutualism ini.

Pasti antara kita banyak silap dan salahnya kepada makhluk. Ya! Kerana kita ini manusia yang tidak sempurna sifatnya. Secara langsung atau tidak langsung, secara nawaitu ataupun tidak sememangnya manusia sifatnya tidak lepas dari kesalahan dan kekhilafan. Ibarat pepatah Melayu pernah menyebut bumi mana tidak ditimpa hujan begitu jualah insan yang tidak luput dek tersalah kata dan tingkah. Dalam nyata mahupun tersembunyi, yang tersurat bahkan tersirat kadang tidak kita sedari sebenarnya mungkin kita telah menyinggung mahupun mengguris rasa orang-orang disekeliling kita. Kepada ibu bapa, adik-beradik, sahabat handai, kawan sekerja, orang tersayang malah kepada insan yang tidak pernah dikenali. Ya, semua…semua di sekeliling kita, yang tercipta interaksi antara kita dengan mereka.


Jika sedar, alangkah syukurnya kerana tahu kita bersalah dan peluang memohon maaf itu wujud. Jika tidak sedar, alangkah ruginya kerana semakin tidak sedar, semakin bertimbun kata maaf yang tidak terucapkan. Malah, tanpa sedar lagi hati begitu teruja mengulangi kesilapan dan kesalahan yang telah dianggap satu kebiasaan. Na’uzubillah. Namun, sebaliknya syukur kiranya kita telah dimaafkan tanpa sedar kita tahu kesilapan kita. Kredit kepada si pemberi maaf yakni kepada sesiapa yang mudah memaafkan…!

Berbalik kepada tajuk entri ini, sememangnya perbuatan meminta maaf dan memberi maaf itu membawa kepada mutualisme-faedah untuk kedua-dua pihak yang terlibat. Mana tidaknya, yang meminta maaf dan yang memberi maaf sama-sama menundukkan ego, merendahkan hati mengakui kesilapan dan berlapang dada me’neutral’kan rasa ke arah keseimbangan hubungan. Al-hasil, dengan izin-Nya kedua-dua pihak belajar sesuatu dari ketidakseimbangan yang terjadi. Mudah-mudahan.

Andai hati masih resah, jiwa masih kacau, nubari masih terganggu dek kesalahan dan kesilapan yang disedari mahupun tidak….kembalilah kepada fitrah. Fitrah yang sukakan kebaikan dan kedamaian. Leraikan rasa yang membelenggu dengan koreksi diri menyelami silap dan salah kita kepada makhluk (manusia) dan memaafkan kesalahan manusia pada kita. Teringat kata-kata motivasi seorang pakar motivasi terkenal, tips yag sampai kini melekat dalam kotak minda…”Maafkan semua orang sebelum tidur.” Mudah-mudahan cas-cas kebaikan yang kita hadirkan akan menarik lebih banyak cas-cas kebaikan untuk diri kita. InsyaAllah.



-saya maafkan kamu, kamu maafkan saya juga ye (mutualisme achieved!)- (^_^)
Balqiszafira87
Teratak hati gunung mas, tampin
19 Oct 2010



Cukupkah syukurku?


Syukur masih diberi nafas untuk kehidupan ini

Syukur lagi kerana diberi tubuh yang sihat hari ini untuk menjalani waktu ini dengan amal dan ibadat

Syukur untuk rezeki yang dilimpahkan walaupun sedikit dan moga diberkati setiapnya

Syukur kerana masih mampu melihat alam fana’ ini

Syukur atas kemampuan mendengar dan memberi tindakbalas melalui bicara kata dan hati

Syukur untuk hati ini yang masih mampu dididik dan dilenturkan jiwanya kearah kebaikan

Syukur atas kehadiran manusia disekeliling ku yang membentuk diri ini secara langsung mahupun tidak langsung malah adakalanya mencerminkan siapa diri ini

Syukur kerana akal ini masih diberi peluang mengerahkan fikrah dan buah bicaranya yang masih cetek ilmunya

Syukur jua atas umur dan hayat yang telah ditentukan tempohnya sejak azali

Terkadang leka menjalani kehidupan di sini sehingga lupa kehidupan di sana

Lupa kedatangan kehidupan di sana yang pasti menanti

Lupa menyedarkan diri kehidupan di sini hanyalah permainan dan senda gurau semata

Lupa yang umur ini hakikatnya semakin sedikit sewaktu masa semakin menginjak hari

Lupa akan harta, kuasa, keluarga mahu pun sahabat handai yang kau ada sekarang pasti ditinggalkan

Lupa akan dosa-dosa dahulu malah yang bakal mendatang belum tentu lagi di’hapus’kan sepenuhnya

Lupa tentang amal yang sewajibnya dilaksanakan dan diberi perhatian secara syumulnya

Lupa yang masa dan waktu ini hakikatnya digunakan untuk jalan kebaikan dan kebajikan

Lupa diri mu sebenarnya adalah sama di kalangan makhluk bergelar manusia

Cuma dibezakan oleh iman dan taqwa yang dipunyai hati dan diri

Dan yang pasti lupa akan setiap yang bernyawa pasti mati!

Hati bermonolog sendirian “Di mana aku sekarang? Sedarkah diri? Cukup kah syukur ku pada Yang Hak?

Hati bertingkah lagi “ Mudahnya kau bertanya akan kecukupannya sedangkan nikmat yang kau dapat, yang kau rasa, yang kau terima masih mengalir hingga saat ini, masih berjalan seiring waktu, masih tak jemu menemani bersama hela nafasmu malah masih setia dalam kehidupan ini…???”

“Wahai hati, belajarlah bersyukur acapkali atas nikmat yang diberi-Nya dan bersabar akan setiap ujian yang diturunkan-Nya, belajarlah sesuatu dari kehidupan ini moga dikuatkan iman dan hati menempuh yang fana’ untuk yang kekal abadi….” Syukur Ya Allah---Alhamdulillah--ALL PRAISES TO ALLAH S.W.T

~mendidik hati suka bersyukur~

balqiszafira87

Teratak hati Gunung Mas, Tampin, N.Sembilan

Followers

Rapuh-Opick