BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Thursday, November 22, 2012

Berdoa dari Hati




Siapa tidak tahu doa makan? Bahkan kanak-kanak berumur 4 tahun dan mungkin kurang dari itu pun telah diajar dengan doa makan lengkap bersama ‘subtitle’nya.


“Allahumma bariklana fi ma razaqtana waqina ‘azabannar…”

Amin, amin Ya Allah…

Ya Allah, Kau berkatilah rezeki kami ini dan jauhkan kami dari azab api neraka.


Begitulah maksud sepotong doa pendek yang kita rata-rata hafaz membacanya walaupun mungkin kurang dipraktikkan dalam amalan seharian walaupun sebelum makan. Na’uzubillah min zalik.

Jika di teliti potongan doa ini dari segi maksud dan maknanya, ia tidak pun menyebut secara spesifiknya tentang makanan yang akan kita makan. Namun kita faham  bahawa makanan itu adalah rezeki dari Tuhan. Alhamdulillah.





Namun, pernahkah kita terfikir bahawa REZEKI tidak tertakluk hanya pada skop makanan? Bagi yang sedar, sesungguhnya itu adalah nikmat. Namun bagi yang baru sahaja terfikir, teruskan mengenang dan berfikir yakni skop rezeki secara luas dan anda pastinya menyedari bahawa hakikat rezeki adalah terlalu luas merangkumi seluruh cakupan dunia yang kita diami ini. Harta, makanan, anak, tubuh badan sihat, minda sihat, nikmat iman, Islam, ihsan, pancaindera dan banyak lagi…itu semua rezeki. Masya-Allah.


Dalam Kuliah Maghrib di TV AlHijrah tadi, penerangan ustaz begitu mengetuk minda. Walaupun ia hanyalah peringatan yang tidak memakan masa yang lama, namun ia cukup menyegarkan minda. Beliau menasihatkan dengan gaya bersahaja sehingga membuat diri ini tergeletek hatinya, terjentik jiwanya.


Pesanan agar jangan kita sendiri sebagai umat ISLAM memandang remeh harga sebuah doa. Berdoalah walaupun hanya sepotong ayat pendek asalkan ia datang dari hati dan kesungguhan kita sendiri meminta kepada Rabbul Izzati. Walaupun cuma….

“Rabbana atina fiddunya hasanah, wa fil akhirati hasanah, waqina ‘azabannar…”
Ya Allah, berikan kami kebaikan dunia dan akhirat, dan jauhkan kami dari azab api neraka.


Begitu katanya. Begitulah doa yang diajar Nabi Muhammad SAW junjungan kasih kita.  Malah doa makan yang kita tahu melagukannya itu pun sudah cukup merangkumi segala rezeki yang diberi saban waktu yang sepatutnya kita syukuri. Tidak salah untuk kita membaca ‘doa makan’ tersebut walaupun kita tidak makan pada waktu itu. Fahami maknanya, telusuri harapannya dan hayati konsep rezeki yang kita syukuri dalam doa tersebut. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar, Maha Mengetahui setiap ada yang ada dalam hati manusia.



Doa itu istiqamah praktisnya. Walaupun kita mendoakan perkara yang sama, jangan pernah jemu, jangan pernah putus asa kerana disitulah letaknya kesungguhan hamba itu mengharapkan makbulnya doa lantas mengharapkan kasihnya Allah.


Menggeletek hati mengingatkan jenaka ustaz yang berkisar tentang doa yang dipohon secara tidak bersungguh. Sebagai contoh:


“Ya Allah, macam semalam lah” atau “Ya Allah, macam biasalah doaku”

Hehe…betul lah, bukan begitu caranya. Itu cara insan yang malas meminta pada PenciptaNya.

Jangan pernah jemu menyatakan cinta jika itu rasa kita pada nikmat dan ujian Tuhan…
Apa yang penting? ISTIQAMAH….InsyaAllah….Ameennn..



balqiszafira
Flat.KuningMerahBata.
dihening malam....

Tuesday, November 13, 2012

Bila malu kian pudar, nilai Islam kian dinafikan!


Bismillahirrahmanirrahim. 
Hanya kepada Allah aku berlindung dari segala sifat mazmumah. Allahu Akbar….


Iman itu ada 70 cabangnya. Dan malu itu separuh dari iman.


Hipotesis awal: Bila malu sudah mulai merudum dari dalam diri, itu petanda iman makin menjauh dari hati. Na’uzubillahi min zalik…

Dunia kini terlalu maju sehingga berjaya mengikis sifat malu umat sedikit demi sedikit. Dahulu, kita yang berpasakkan dengan adab ketimuran, begitu gah dengan sifat malu dan penyantun yang sentiasa di bisikkan oleh nenek moyang kita saban waktu.


Namun, jauh berbeda kini. Pemerhatian secara tidak langsung telah membuat penulis didesak oleh hati dan minda agar mengutarakan entri ini. Walaupun ia hanyalah pendapat personal, tapi ia hakikat buat masa ini. Tanpa disedari, pihak Barat berjaya menyusupkan agenda pemikiran yang dianggap kemodenan bagi mereka namun hakikatnya menjatuhkan pemikiran dan praktis ketimuran, apatah lagi agama ISLAM yang kita anuti.


Ayuh, kita ketuk minda melihat fenomena ini secara lebih serius!



Hakikat 1: Artis ikutan remaja

Dunia hiburan- lakonan, nyanyian, media iklan- hampir 99% watak mereka tidak menutup aurat! Baik wanita mahupun lelaki. Satu iklan pewangi deodoran di kaca televisyen tanpa segan silu mengiklankan produk mereka berlatarbelakangkan kelab malam. Situasi ini menunjukkan betapa pengaruh Barat mula diangkat dan dimartabatkan secara tidak langsung di media kita. Tanpa ada penguatkuasaan tegas inilah dibimbangi anak muda belia kita menerima situasi ini sebagai perkara biasa dan tiada apa yang hendak dihairankan.


Dan yang pasti segala yang dipapar tidak menunjukkan sensitiviti kita sebagai umat Islam di negara Islam kita sendiri. Sebagai manusia yang beriman akan ajaran Islam yang syumul, kita pasti akan mengutuk perbuatan tersebut. Alasan yang diberi artis-artis Melayu-Islam yang tidak menutup aurat secara sempurna tidak relevan - seolah-olah mereka lupa ajaran yang termaktub dalam Al-Quran. Itu perintah Allah yang disampaikan melalui Nabi Junjungan kita Muhammad SAW. 

Terlintas di fikiran penulis perasaan sedih dan kasihan buat mereka yang bercakap sepertinya hidup dunia ini masih panjang. Astaghfirullahal’azhim….


Hakikat 2 : Iklan Dinding di Shopping Mall Terkemuka 


Bukan satu, malahan lebih dari satu shopping mall yang pernah saya lawati menjadikan model wanita dengan aurat yang terbuka memperagakan pakaian dalam di dinding dalam bangunan shopping mall. Ibaratnya sifat malu itu sudah tiada.
Memang, itu bukan wanita Islam. Tapi hakikatnya kita di negara Islam. Allahu Akbar!
Kita punya kuasa menegakkan agama Islam di negara kita dengan undang-undang Islam. 

Manakah malu kita sebagai umat Islam?


Masya-Allah~ Hebat cabaran umat Islam kini. Ibarat kita hanya mengikut telunjuk dan bukan kita yang memberi petunjuk sebagaimana mengamalkan Islam itu sendiri. 


p/s: Dosa tanpa sedar yang kita kumpulkan, ampunkan kami Ya Allah~!



Hakikat 3: Kurangnya nilai sensitiviti Islam dalam filem berwatakkan Melayu-Islam


Tidak pasti sama ada saya yang berasa terlalu sensitif dengan jalan cerita ataupun perkara ini sebenarnya sudah lama menjadi praktik dalam filem Melayu kita. Apa yang ingin saya katakan di sini adalah nilai Islam dalam filem kita sekarang sudah jauh ditinggalkan. Skrip-skrip lontaran para pelakon seolah-olah menganggap remeh bicara tentang nilai Islam apabila hanya menerima dan melakonkannya.  


Bagi mereka yang menonton sekadar hiburan semata, memang ia tidak akan dianggap sebagai satu isu besar. Namun, bagi mereka umat Islam yang yakin dengan ajaran Islam yang dibawa akan pasti merasa sedih dan kecewa melihatkan hasil dari filem ini.


Cukup sukar jika hanya menyalahkan anak-anak remaja kini atas sikap dan nilai yang kurang elok diamalkan oleh mereka tanpa melihat kepada perspektif keseluruhan. Tanpa sedar, zaman kemodenan kini telah membuka luas peluang syaitan laknatullah menyampaikan agenda mereka melalui bantuan media massa kini. Alangkah bertepuk gemilang syaitan melihat anak Adam diperkudakan oleh umat ‘Islam’ itu sendiri dengan bantuan musuh Islam. Astaghfirullah….


Hingga terlalu takut pabila mengenangkan anak-anak zaman ini terlalu terdedah dengan penyebaran nilai-nilai yang tidak baik hanya melalui satu saluran utama- televisyen! Lihat sahaja filem-filem Melayu sekarang yang dengan bangganya diterbitkan dan diluluskan oleh pihak-pihak tertentu tanpa melihat dengan serius bahan yang akan disebarkan. Kini, kisah ‘gangster’, mat rempit, pengganas jalanan mahupun taiko yang dahulunya hanya kita ketahui melalui dada-dada akhbar telah meluas disebarkan melalui filem dan drama. Dari kita tidak tahu bagaimana mereka ini menjalankan aktiviti, maka minda disumbatkan dengan kisah-kisah begini yang seharusnya tidak dipanjangkan. Ibarat cendawan tumbuh selepas hujan, begitulah filem-file genre ini diangkat di carta-carta filem terbaik. Allahu Akbar!


Walaupun tujuan asalnya adalah untuk memberi keinsafan kepada sesetengah pihak, namun saya pasti keburukannya adalah lebih besar daripada apa yang kita jangkakan. Remaja kini berpeluang luas melihat dan tidak mustahil untuk mencontohi tanpa kita sedari. Moga dijauhkan!


Kesimpulan

Inilah cabaran utama – bila malu kian pudar, nilai Islam kian dinafikan!

Usaha Saluran TV Islamik popular sekarang dalam memartabatkan nilai dan ilmu Islam amat saya puji. Kalau dahulu kita tidak punya pilihan, sekarang terpulang pada kita untuk membuat pilihan dalam mempelajari nilai Islam yang telah lama kita tinggalkan.

 p/s: Sedih dengan kenyataan seorang artis Melayu-Islam yang begitu mudah mengeluarkan ayat seolah memperlekeh saluran televisyen Islamik dari segi penguatkuasaan tegas dalam memaknakan nilai Islam yang kita sanjungi. Moga Islam tidak jadi perkara asing dalam masyarakat Melayu-Islam kita! Na’uzubillah min zalik….




~Balqiszafira~

Dingin November 2012
Flat Kuning-Merahbata, Seksyen 19 Shah Alam
Selangor Darul Ehsan

Followers

Rapuh-Opick