BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Saturday, November 13, 2010

Tuah Hidayah


Senja itu berlabuh lagi. Baru sahaja azan Maghrib berkumandang mengingatkan ahlinya tentang kewajipan yang wajib dilaksanakan dan bersamanya juga dibawa ajakan mengerjakannya. Alhamdulillah. Namun, Qis masih di situ menghadap laptopnya- leka bermain game Mystery Case Files (MCF). Pening kepalanya mencari barang hilang. Aduhh… Dalam hatinya terdetik “ Isy, dah maghrib ni..habiskan game ni cepat!”

Di latar yang sama, terdengar ayahnya bising-bising lagi. Marahkan si isteri yang baru sahaja pulang kerja dan belum sempat meleraikan letihnya. Setiap hari begitu malah terkadang rimas juga dibuatnya. Herdikan yang cukup menjengkelkan hati. Sesiapa mendengar juga pasti merasa kurang senang.

Entah kenapa hati Qis panas lagi. Geram. “Apa sahaja yang tidak kena dalam rumah ni,” getus Qis. Lantas, Qis menutup laptopnya sambil mengomel sikap ayahnya yang tidak sudah-sudah itu. Tidak disangka omelannya itu didengar ayahnya yang sememangnya sedang baran ketika itu. Lalu Qis dijerkahnya. Gadis itu tergamam. Malas hendak melayan, Qis masuk ke bilik dan menutup pintu. Sungguh pun begitu, keadaan seolah-olah tidak mahu tenang. Jerkahan ayahnya masih bergema di luar pintu, malah lebih hebat lagi. Tuduhan pula yang menjadi mainan kata.

Qis tidak tertahan lagi. Dia keluar memberanikan diri berdepan dengan si ayah yang masih belum lekang dari amarah. Tidak pernah sekali pun selama ini Qis bertindak seberani begitu. Apa nak jadi..jadilah! Hatinya dirasuk amarah jua kerna tak sanggup menahan kata-kata yang tidak berasas dari mulut ayahnya sendiri. Itulah saat pertama Qis menentang kata ayahnya yang dirasakan tidak masuk dek akal. Matanya berlinang air mata tanpa henti, hatinya begitu mulus untuk bertindak sedemikian. Sudah lama dipendam rasa itu, malah letih memikirkannya setiap kali itu terjadi. Memang Qis tidak tahu apa-apa kisah antara suami isteri itu, tapi Qis tidak bodoh malah bukan dungu! Sedari kecil dimomokkan oleh cerita si ayah tentang ibunya yang tidak diketahui asal-usulnya, kebenaran ceritanya malah kesahihannya cukup diragui tapi Qis tidak selamanya kecil. Dia sudah cukup dewasa untuk membezakan yang hak dan yang batil secara logiknya mengikut pertimbangan akal dan ilmu.

Sekarang Qis pula menjadi sasaran. Sudah tinggi sangat ilmu sehingga pandai menentang ayah sendiri? Masih terngiang-ngiang kata-kata si ayah yang cukup pedih itu di pendengarannya. Bukan niat di hati Qis untuk melawan apatah lagi membela siapa dan siapa. Malam itu solatnya dibanjiri air mata, biliknya bergema tangisan yang tidak berkesudahan, malah kepalanya sakit yang teramat cuba melerai tangisan itu. Air mata yang tumpah tidak ketahuan sebabnya. Cuma sedih dengan sikap si ayah yang tidak berubah sifatnya, sedih tatkala mengenang kesabaran si ibu yang begitu tinggi melangit terhadap kata nista kepadanya, dan sedih sekali kerana dirinya telah melakukan dosa besar – melawan kata si ayah, meninggikan suara pada si ayah! Jauh sekali niat ingin melanggar syariat Islam yang lama tertanam menjadi prinsip dan amalan hidupnya.

Ampunkan aku Ya Allah…! Berkali-kali Qis melafazkan istighfar itu. Hatinya masih sakit pabila kata-kata si ayah yang tidak berkesudahan mengulang perkara yang sama terhadap dirinya. Terasa besar sungguh dosanya yang pada mulanya ingin melerai sengketa, tetapi disalah ertikan sebegitu rupa. Sakit hati ini Ya Allah mengenangkannya, namun itu harga yang perlu ku bayar kerana berani-berani melampaui sempadan rasa dan hati. Qis bermain rasa.

Luka hati itu terlalu dalam sehingga Qis berfikir ingin membawa diri malah meminta ditamatkan sahaja riwayatnya di dunia ini. Tidak sanggup rasanya merasai pahit dunia ini. Sudah tentu syaitan-syaitan yang menghasutku tadi sedang bersorak gembira meraikan kemenangan meracun hati anak Adam ini dengan amarah yang berapi terhadap lelaki yang banyak berjasa untuk diriku selama ini. Astaghfirullahal’azim. Istighfar Qis tercetus lagi. Malah tidak terhitung keampunan dari Allah diharapnya sepanjang malam itu sehingga tidurnya masih bersisa air mata.

Kepala Qis yang memberat malam tadi sudah beransur ringannya tatkala dia sedar keesokan paginya. Subuh ditunaikan, doa dipanjatkan kepada Yang Maha Penyayang mengharap redha dan keampunan ke atas dirinya. Sedari pagi hingga ke tengahari jiwanya masih kacau akan perihal semalam. Sememangnya dosa itu meresahkan hati! fikir Qis lagi. Masa berlalu sehingga masuk Zuhur, ditunaikannya solat dan sesudah itu digapainya kitab suci Al-Quran itu. Membuka lembaran di tempat dia berhenti, dan mula mengalunkan kalam Allah itu sebaik mungkin demi mencapai khusyuk terhadap pujukan ayat itu.

Maha Suci Allah! Tatkala terjemahan ayat pertama yang dibacanya cukup menyentuh hati. Cukup membuat hati Qis bergetar, seolah-olah Allah sedang memerhatikannya dan memujuknya agar kembali kepada fitrah.

Surah Ali ‘Imran ( 133-136 )

Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

Dan bersegeralah kamu mencari ampunan dari Tuhan-mu dan mendapatkan syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan bagi orang-orang yang bertakwa, yaitu orang yang berinfak, baik di waktu lapang mahupun sempit, dan orang-orang yang menahan amarahnya dan memaafkan (kesalahan) orang lain. Dan Allah mencintai orang yang berbuat kebaikan, dan (juga) orang-orang yang apabila mengerjakan perbuatan keji atau menzalimi diri sendiri, segera mengingat Allah lalu memohon ampunan atas dosa-dosanya, dan siapa (lagi) yang dapat mengampuni dosa-dosa selain Allah? Dan mereka tidak meneruskan perbuatan dosa itu, sedang mereka mengetahui. Balasan bagi mereka ialah ampunan dari Tuhan mereka dan syurga-syurga yang mengalir dibawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya. Dan itulah sebaik-baik pahala bagi orang-orang yang beramal.”

Qis sungguh bersyukur atas hidayah Allah yang sentiasa bersamanya sehingga ke saat ini.

“Sungguh Allah begitu menyayangiku, tidak mahu aku jauh dari kebaikan malah dihadirkannya dalam bentuk yang sungguh tulus dan telus ke dasar hati. Bertuahnya aku masih diberi hidayah dari Penciptaku yang sentiasa melihat dan mendengar rintihan hamba-Nya, malah masih menyayangiku yang hina dina ini sebagai hamba-Nya.” terlontar bait-bait kesyukuran Qis di rengkungan rasanya.

Nawaitu hatinya telah berkata agar bertindak segera. Jangan ditangguh lagi. Akan di pohon keampunan kepada si ayah atas keterlanjuran yang tidak disengajakan, atas kata yang menyakitinya, atas tindakan yang tidak semena-mena. Qis berjanji menjadi anak yang baik untuk ibu dan ayahnya walau seburuk mana pun mereka, mereka tetap di hati, yang telah melahir dan menjaga dirinya sehingga kini dengan penuh kasih sayang.

Bertuahnya aku masih miliki hidayah Allah yang mahal itu, malah masih miliki ibu ayah di sisi…! ALHAMDULILLAH Ya Allah. Qis gembira, hatinya seolah-olah hidup semula. Dia melangkah penuh yakin ke arah si ayah yang baru pulang dari kerja. Maafkan Qis, ayah!

p/s: Semua ini dugaan dan cabaran hidup, belajarlah sesuatu dari ujian yang ditimpakan pada kita – setiap kebaikan dan kejahatan yang terjadi semuanya punya hikmah, terpulang kepada diri kita menilainya dan meletakkan acuan untuk hidup kita kelak.


Friday, October 22, 2010

MUTUALISM - memang berbaloi..!


Dua konsep timbal-balik yang cukup mudah. Meminta maaf dan memberi maaf. Kalau dilihat dari sudut saintifik yang seakan-akannya mungkin sahaja membawa kepada mutualism.


MUTUALISM??? Jom kita selak sebentar kamus saintifik.

Mutualisme is a relationship in which both the organisms benefit from it.

Terjemahannya ialah suatu hubungan di mana kedua-dua organisma mendapat faedah daripada hubungan itu.

Wah…kedengarannya begitu mudah, bukan? Tapi bukan istilah saintifik ini yang ingin diselami cuma sekadar mendatangkan idea baru yang seakan-akan mudah untuk kita lihat betapa sudut meminta dan memberi maaf adalah konsep yang cukup mudah untuk disebandingkan dengan hubungan mutualism ini.

Pasti antara kita banyak silap dan salahnya kepada makhluk. Ya! Kerana kita ini manusia yang tidak sempurna sifatnya. Secara langsung atau tidak langsung, secara nawaitu ataupun tidak sememangnya manusia sifatnya tidak lepas dari kesalahan dan kekhilafan. Ibarat pepatah Melayu pernah menyebut bumi mana tidak ditimpa hujan begitu jualah insan yang tidak luput dek tersalah kata dan tingkah. Dalam nyata mahupun tersembunyi, yang tersurat bahkan tersirat kadang tidak kita sedari sebenarnya mungkin kita telah menyinggung mahupun mengguris rasa orang-orang disekeliling kita. Kepada ibu bapa, adik-beradik, sahabat handai, kawan sekerja, orang tersayang malah kepada insan yang tidak pernah dikenali. Ya, semua…semua di sekeliling kita, yang tercipta interaksi antara kita dengan mereka.


Jika sedar, alangkah syukurnya kerana tahu kita bersalah dan peluang memohon maaf itu wujud. Jika tidak sedar, alangkah ruginya kerana semakin tidak sedar, semakin bertimbun kata maaf yang tidak terucapkan. Malah, tanpa sedar lagi hati begitu teruja mengulangi kesilapan dan kesalahan yang telah dianggap satu kebiasaan. Na’uzubillah. Namun, sebaliknya syukur kiranya kita telah dimaafkan tanpa sedar kita tahu kesilapan kita. Kredit kepada si pemberi maaf yakni kepada sesiapa yang mudah memaafkan…!

Berbalik kepada tajuk entri ini, sememangnya perbuatan meminta maaf dan memberi maaf itu membawa kepada mutualisme-faedah untuk kedua-dua pihak yang terlibat. Mana tidaknya, yang meminta maaf dan yang memberi maaf sama-sama menundukkan ego, merendahkan hati mengakui kesilapan dan berlapang dada me’neutral’kan rasa ke arah keseimbangan hubungan. Al-hasil, dengan izin-Nya kedua-dua pihak belajar sesuatu dari ketidakseimbangan yang terjadi. Mudah-mudahan.

Andai hati masih resah, jiwa masih kacau, nubari masih terganggu dek kesalahan dan kesilapan yang disedari mahupun tidak….kembalilah kepada fitrah. Fitrah yang sukakan kebaikan dan kedamaian. Leraikan rasa yang membelenggu dengan koreksi diri menyelami silap dan salah kita kepada makhluk (manusia) dan memaafkan kesalahan manusia pada kita. Teringat kata-kata motivasi seorang pakar motivasi terkenal, tips yag sampai kini melekat dalam kotak minda…”Maafkan semua orang sebelum tidur.” Mudah-mudahan cas-cas kebaikan yang kita hadirkan akan menarik lebih banyak cas-cas kebaikan untuk diri kita. InsyaAllah.



-saya maafkan kamu, kamu maafkan saya juga ye (mutualisme achieved!)- (^_^)
Balqiszafira87
Teratak hati gunung mas, tampin
19 Oct 2010



Cukupkah syukurku?


Syukur masih diberi nafas untuk kehidupan ini

Syukur lagi kerana diberi tubuh yang sihat hari ini untuk menjalani waktu ini dengan amal dan ibadat

Syukur untuk rezeki yang dilimpahkan walaupun sedikit dan moga diberkati setiapnya

Syukur kerana masih mampu melihat alam fana’ ini

Syukur atas kemampuan mendengar dan memberi tindakbalas melalui bicara kata dan hati

Syukur untuk hati ini yang masih mampu dididik dan dilenturkan jiwanya kearah kebaikan

Syukur atas kehadiran manusia disekeliling ku yang membentuk diri ini secara langsung mahupun tidak langsung malah adakalanya mencerminkan siapa diri ini

Syukur kerana akal ini masih diberi peluang mengerahkan fikrah dan buah bicaranya yang masih cetek ilmunya

Syukur jua atas umur dan hayat yang telah ditentukan tempohnya sejak azali

Terkadang leka menjalani kehidupan di sini sehingga lupa kehidupan di sana

Lupa kedatangan kehidupan di sana yang pasti menanti

Lupa menyedarkan diri kehidupan di sini hanyalah permainan dan senda gurau semata

Lupa yang umur ini hakikatnya semakin sedikit sewaktu masa semakin menginjak hari

Lupa akan harta, kuasa, keluarga mahu pun sahabat handai yang kau ada sekarang pasti ditinggalkan

Lupa akan dosa-dosa dahulu malah yang bakal mendatang belum tentu lagi di’hapus’kan sepenuhnya

Lupa tentang amal yang sewajibnya dilaksanakan dan diberi perhatian secara syumulnya

Lupa yang masa dan waktu ini hakikatnya digunakan untuk jalan kebaikan dan kebajikan

Lupa diri mu sebenarnya adalah sama di kalangan makhluk bergelar manusia

Cuma dibezakan oleh iman dan taqwa yang dipunyai hati dan diri

Dan yang pasti lupa akan setiap yang bernyawa pasti mati!

Hati bermonolog sendirian “Di mana aku sekarang? Sedarkah diri? Cukup kah syukur ku pada Yang Hak?

Hati bertingkah lagi “ Mudahnya kau bertanya akan kecukupannya sedangkan nikmat yang kau dapat, yang kau rasa, yang kau terima masih mengalir hingga saat ini, masih berjalan seiring waktu, masih tak jemu menemani bersama hela nafasmu malah masih setia dalam kehidupan ini…???”

“Wahai hati, belajarlah bersyukur acapkali atas nikmat yang diberi-Nya dan bersabar akan setiap ujian yang diturunkan-Nya, belajarlah sesuatu dari kehidupan ini moga dikuatkan iman dan hati menempuh yang fana’ untuk yang kekal abadi….” Syukur Ya Allah---Alhamdulillah--ALL PRAISES TO ALLAH S.W.T

~mendidik hati suka bersyukur~

balqiszafira87

Teratak hati Gunung Mas, Tampin, N.Sembilan

Sunday, August 29, 2010

-Koreksi Ramadhan-


Salam alaik buat semua yang sedang menjalani ibadah puasa di bulan Ramadhan yang suci dan mulia ini...Moga kalian semua dalam rahmat dan kasih Ilahi..ameen....

Kedatangan bulan Ramadhan tahun ini cukup disyukuri kerana kesempatan yang diberi oleh Allah swt kepada umat Muhammad untuk merasai dan menjalaninya pada saat ini, umur ini, hayat ini. ALHAMDULILLAH, Segala puji-pujian hanya untuk Allah swt....
Betapa Tuhan itu menyayangi hambaNya sehingga mendatangkan bulan yang cukup barakah ini agar sama-sama direbut dan diraih kasih dan cinta-Nya dalam melayari kehidupan dunia yang bersifat sementara ini.

Andai Ramadhan itu bukan hanya satu bulan, malah dua belas bulan Islam adalah Ramadhan, alangkah beruntung nya kita kerana setiap amalan digandakan pahala dan fadhilatnya. Masya-Allah....namun Dia lebih mengetahui apa yang terbaik untuk hamba-hamba-Nya. Alhamdulillah.

Ramadhan bakal melabuhkan tirainya dalam 11 hari lagi, tanya lah pada diri andai kita telah menggunakan sepenuhnya waktu dan saat Ramadhan yang tiba kali ini dengan sepenuhnya atau separuhnya, atau sepertiganya. Usaha perlu tetap ada, niat perlu dibersihkan, doa perlu selalu dipanjatkan, tidak mengira ketika senang mahupun dalam kesempitan. Sentiasa lah bersangka baik dengan Allah...agar ibadah dan doa kita diterima oleh Nya.

Di kesempatan ini, aku ingin memohon maaf pada kalian andai ada yang pernah ku guris rasanya, andai ada yang pernah ku bengkakkan jiwanya, andai ada khilaf yang kadang tidak ku sedari menyakitkan kalian, maaf ku pohon kan. Sesungguhnya diri ini masih mencari redha-Nya, masih mencari ampunan-Nya atas dosa-dosa yang lalu dan masih ingin mengekalkan ukhuwah sesama kita.

Buat mak dan ayah, ampunkan anak mu ini atas kata-kata, perlakuan dan pemikiran yang belum cukup baik terhadap kalian, namun aku masih mencari erti kehidupan yang sebenar kerana hayat yang masih belum pun menginjak dua setengah dekad, masih banyak yang aku pelajari. Buat adik-adik ku, teguhkan iman mu kerana pelayaran masa depan belum diketahui hujung pangkalnya dan kuatkan semangat menjunjung kasih-Nya dalam apa ketika sekalipun. Buat sahabat-sahabat yang mengenaliku, aku gembira mengenali kalian, kekadang ketidaksempurnaan kau dan aku menjadikan diri ini belajar cukup banyak tentang sifat manusia kerana aku juga manusia. Buat saudara-saudara ku, kehadiran kalian cukup menyenangkan hati walau terkadang kita 'terpisah' dek kesibukan, kejauhan dan macam-macam lagi. Buat seseorang yang ku kasihi, moga sentiasa dalam rahmat dan lindungan Ilahi walau di mana pun kau berada dan moga sama-sama kita tempuhi kehidupan yang mendatang dengan baik dan mendoakan kasih Allah sentiasa mengiringi kita, InsyaAllah~

Moga Ramadhan kali ini adalah yang paling indah buat kalian kerana cinta dan kasih dari-Nya. Insya-Allah~

Friday, August 13, 2010

Tatkala Ramadhan Kembali Hadir…

Fajar Ramadhan memercik cahaya di sebalik ufuk

Membelah rekahan mentari dari barat ke timur

Alhamdulillah Ya Rabbi!

Kelmarin sewaktu ia berpamit pergi

Ku kira kita tak bakal bertemu lagi

Panjang munajat syahduku berlagu

Mohon agar diberikan waktu bersamanya lagi

Dan kini aku benar-benar diberi kesempatan

Menjelang bulan penuh barakah itu…

Biarku dakap semilir wangi harum Ramadhan

Dalam rancak membina ibadah

Bahawa sesungguhnya tiada jalur waktu paling baik selain diberi kesempatan umur

Merancak masa dalam ibadah!

Ya Allah, dalam munajat yang panjang

Hamba-Mu menghampar rasa syukur

Masih terus diberi ruang dan peluang kesempatan untuk koreksi diri

Sesungguhnya fitrah manusia itu sering alpa

Dalam limpah rahmat-Mu yang melaut

Acapkali lalai untuk mengucap syukur

Ia seakan hanya ramah sewaktu tersungkur

Batas tamsilannya umpama jarak pandang antara bumi subur dan danau kontang…

Andai masih diberikan kurnia

Ku panjatkan syukur buat-Mu Ya Allah

Pun begitu tatkala kau hantarkan bencana

Ia juga tiada upaya aku menolaknya

Kerana akulah insan ciptaan-Mu

Yang mesti akur dalam takdir bentangan ditentu

Namun dalam kudus fajar Ramadhan yang datang ini

Ku pohon agar Kau berilah barakah inayah

Agar akulah hamba-Mu yang sentiasa koreksi diri

Supaya ganjaran pahala sentiasa melebihi gumpalan dosa!

Dan biarlah Ramadhan terus bertandang

Dalam kampung usiaku yang kian dewasa…..



Dipetik dari Lensa Rasa ANIS, Ogos 2009

Monday, August 2, 2010

Sempurnakah kita?


Bismillahirrahmanirrahim...
Salam ke atas kalian, moga sihat sejahtera hendaknya dan sentiasa dalam redha Ilahi.

Terpanggil aku untuk menulis lagi. Alhamdulillah diberi kesempatan oleh-Nya.

Ada masa mata ini hanya mampu melihat. Ada waktunya telinga ini hanya mampu mendengar.
Kisah kehidupan manusia yang pelbagai; ada yang begini dan ada yang begitu. Kadang cukup meruntun hati, terkadang akal terbejat memikirkan ia.
Aduh...! Minda megetuk lagi. Tidak ada satu kejadian yang sempurna melainkan hanya Dia. Yang Esa. Subhanallah...!

Tahukah kita apa yang bakal mendatang? Tahukah kita plot kehidupan kita??
Pasti tidak jawapannya. Semuanya dalam pengetahuan Dia...
Yang Maha Mengetahui, Yang Maha Melihat, Yang Maha Menentukan.
Sebelum, semasa dan selepas..semua dalam ketentuanNya.

Jadi, wajarkah kita mempersoalkan kehidupan orang lain sedangkan perjalanan hidup kita sendiri pun di bawah kuasa Nya? Jangan terlalu mudah menghukum. Kerana setiap kejadian yang Allah jadikan, setiap ujian yang Allah turunkan buat hamba-Nya punya nilai dan iktibar yang tersendiri andai manusia itu mengetahui. Ujian, dugaan, musibah mahupun rezeki yang diturunkan adalah pengalaman untuk manusia.

Teringat lecture Bimbingan dan Kaunseling di zaman kampus dahulu. Mudah sahaja mesejnya.
"MANUSIA ITU UNIK"
Sampai sekarang aku masih memegang ungkapan itu. Untuk apa? Untuk suka-suka? Pasti bukan. Kerana bagiku ungkapan ringkas itu sudah cukup menggambarkan manusia dan kehidupannya. Disebabkan uniknya manusia, maka haruslah ujian yang diberi oleh Allah adalah berbeza mengikut kemampuan. Allah tak akan membebankan manusia melainkan apa yang dia mampu.

Untuk si A, ujiannya begini.
Untuk si B, lain pula plotnya.
Bagi si C tidak kurang hebat dugaan yang diterima.

Semua dan pastinya setiap manusia, pengalamannya berbeda. Begitu fikirku.

Setiap pengalaman adalah pengajaran, dan pengalaman adalah pengajaran yang dapat dirasai. Lalu dengan sebab itu, pabila sedikit pengalaman yang sedia ada ditambah dengan ilmu dan pengetahuan yang dibaca, maka manusia itu akan mula merenung dan berfikir bahawasanya setiap yang Allah jadikan tidak pernah sia-sia. Sentiasa lah bersangka baik dengan-Nya..!

Terkadang kehidupan ini menjadi satu subjek yang amat bermakna andai seseorang itu mampu melihat kehidupan ini secara syumul yakni secara keseluruhan, dari segala aspek; Duniawi dan Ukhrawi...
Setiap yang terjadi dalam perjalanan hidupnya sentiasa dikaitkan dengan Pencipta-Nya. Malah setiap tindakannya di dasari dengan ilmu dan amal. Kadang begitu susah mendidik diri namun usaha yang sedikit dan istiqamah itu perlu. Bak kata pepatah "Sedikit-sedikit lama-lama jadi bukit". Biarlah gunung sekalipun yang terhasil asalkan hati sentiasa redha dengan ketentuanNya.

Namun perbedaannya tetap ada pabila seseorang itu melihat kehidupan dari satu aspek sahaja; duniawi...segala yang dilakukan tidak berpaksikan 'kehidupan di sana' nanti.
Begitu mudah lidah itu mencerca, memberi gelaran yang tidak sepatutnya sedangkan persoalannya "Layakkah aku memberi gelaran seumpama itu kepada manusia lain yang hakikatnya dia juga seperti aku? Yang akan dihisab jua di 'perhimpunan' itu?"
Jika benar sekalipun gelaran itu, siapakah kita untuk menghukum?
Renung-renungkan lah...

Memang tidak adil. Dan tidak sepatutnya. Kesal dan sedih melihat mereka yang sebegini, masih senang dan selesa dalam khayalan ciptaan sendiri. Na'uzubillah min zalik.

Akhir kalam ku...
Kita tidak boleh "menjatuhkan hukuman" selagi hidup ini belum tamat. Yang jahat, diharap menjadi baik. Yang baik, diharap menjadi lebih baik. Berilah harapan...untuk diri sendiri apatah lagi untuk orang lain. Semoga kita semua sentiasa dibawah rahmat dan kasih dan pandangan-Nya. Maafkan diri ini andai pernah mengguris rasa antara kalian dan sama-sama kita berusaha membaiki diri dalam mendidik hati ke jalan redha-Nya..INSYA-ALLAH. Wallahu'alam.....(^_^)

Wednesday, July 28, 2010

Guess what...?


Salam alaik buat kalian yang singgah dan yang sedang membaca saat ini.

Kali ni tuan empunya blog nak kongsi tentang soalan-soalan trivia yang seringkali mungkin kita lupa atau tidak ambil 'port' sangat. Biasanya ada trivia tentang bola, tentang itu dan tentang ini. Tetapi trivia yang nak dikongsikan memang menarik dan akan buat kita berfikir tentang nya.

Sebelum tu kita lihat "Apa itu TRIVIA???"

--> Menurut Kamus Dewan, trivia : Pelbagai fakta atau maklumat yang kurang penting tetapi menarik tentang subjek tertentu, terutamanya digunakan dalam sesuatu permainan atau kuiz.

Jom kita lihat trivia ni..kadang2 saya pun tidak mampu menjawab. Jadi trivia ni diiringi bersama jawapannya agar mudah untuk kita ulangkaji semula. hehe...check it out!

1. Wanita dan lelaki pertama yang beriman bahawa tiada tuhan melainkan Allah
dan Muhammad itu pesuruh Allah.
~ Khadijah binti Khuwailid r.ha. dan Abu Bakr r.a.

2. Apakah satu yang tiada dua?
~ALLAH s.w.t

3. Namakan bapa Abu Bakar as-Siddiq r.a.
~ Abu Quhafah

4. Namakan tiga haiwan yang disebut dalam Al Quran yang bertujuan menghina
manusia.
~ Keldai (Surah al-Jumuah: 5) , Anjing ( Surah al-'Araf: 175-176) dan Gagak
(Surah al- Ma'idah:31)

5. Apakah surah yang disebut dengan nama salah satu galian?
~ Surah al-Hadid yang bermaksud besi.

6. Apakah nama hari yang disebut dalam Al-Quran?
~ Hari Jumaat (Surah Jumu'ah 62:9) dan hari Sabtu (Surah al-'Araf 7: 163)

7. Apakah tiga surah yang mana nama surah tersebut disebut pada hujung surah
itu?
~ Surah al-Ma'un, surah al-Masad/al-Lahab dan surah an-Nas.

8. Apakah perkataan yang diucapkan oleh Nabi Yunus a.s. ketika terperangkap
dalam mulut ikan?
~ "Bahawa tidak ada Tuhan selain Engkau. Maha Suci Engkau, sesungguhnya aku
adalah termasuk orang yang zalim." (Surah al-Anbiya' 21: 87)

9. Sahabat yang terkenal dengan gelaran Saifullah atau "Pedang Allah" ialah....
~ Khalid bin al-Walid

10. Surah apakah yang diulangi pada setiap ayatnya dengan perkataan "Allah"?
~ Surah al-Mujadalah yang berjumlah 22 ayat. Perkataan Allah diulangi sebanyak 41 kali.
(Untuk buktikannya, jom baca surah ini!)


Wah...berpeluh juge nak menjawabnya. Tapi Alhamdulillah, dengan perkongsian ni mudah2an memberi sedikit sebanyak ilmu yang kadang-kadang kita terlepas pandang. I like this trivia!

p/s: InsyaAllah, akan datang the next trivia akan muncul...Terima kasih membaca! (^_^)

Followers

Rapuh-Opick