BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS �

Friday, June 3, 2011

nikmat ujian


BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM

Salam alaik buat semua yang sedang menggerakkan anak mata ke arah tulisan entri terbaruku. Dalam hati hanya mampu ucap "T.E.R.I.M.A-K.A.S.I.H" buat mereka yang masih sudi menjenguk laman yang kian berhabuk kini.


Setiap kali tidak berkesempatan mengemaskini laman, mesti ada kata maaf yang mendahului. Kata maaf yang juga dihadiahkan untuk diri sendiri agar sentiasa mengingatkan diri ini masih banyak yang perlu dibaiki. Terkadang di minda sering datang idea-idea yang membuat hati meronta supaya dicoretkan sesuatu. Namun komitmen terhadap tanggungjawab kerja, tanggungjawab sesama manusia dan paling penting tanggungjawab kepada Yang Maha Pencipta minta dan perlu dilunaskan sebagai hamba-Nya di muka bumi yang maha luas ini. Maka, kewujudan blog ini sepi tanpa diisi sesuatu yang sepatutnya diisi tatkala petunjuk datang, namun kita manusia hanya mampu merancang, Allah jua yang menentukan.


::ALHAMDULILLAH.ALHAMDULILLAH.ALHAMDULILLAH::


Bersyukurlah dan berbahagialah bagi sesiapa yang dipermudahkan urusannya oleh ALLAH, dan Bersabarlah serta kuatlah bagi sesiapa yang diuji hidupnya oleh ALLAH.


Ringkas, padat. Nasihat untuk diri sendiri dan kalian.


Terkadang kita merasakan "Bestnya hidup dia, smooth je perjalanan hidup dia kan."

Lepas satu, satu lagi kebahagiaan atau kejayaan menanti untuknya.


"Kenape lah aku tak dapat kebahagiaan macam si dia kan, jealous betullah!"


Di benak terkadang diuji dengan mainan syaitan agar mencemburui yang bukan-bukan. Berfikir yang tidak-tidak. Astaghfirullah~ Kuat sungguh penangan si syaitan laknatullah ini. Ada saja kesempatan ingin diracuni fikiran anak Adam ini. Na'uzubillah...


Namun, iman dalam diri menguatkan hujah menentang perkara-perkara negatif. Menepis bisikan-bisikan penuh benci.


"Alhamdulillah, kalau begitu rezekinya sungguh pemurah ALLAH Yang Maha Pemurah buat hamba-Nya. Sebagai manusia lain kita perlu mendoakan kebaikan untuk insan lain yang mana akan menarik kebaikan untuk kita. Moga ALLAH memberi murah rezeki padaku juga"


Nah! Beginilah seorang muslim/muslimah yang kuat imannya terhadap qada' dan qadar yang ditetapkan untuknya. Walaupun melihat kejayaan dan kebahagiaan orang lain, hatinya tetap sentiasa berdoa atas nama kebaikan lantaran menginjakkan kekuatan hati dan iman untuk sentiasa bersyukur terhadap apa yang dipunyai saat ini. ALHAMDULILLAH~


Walau diuji dengan bermacam-macam ujian untuknya, tidak seperti insan yang dirasakan mudah urusan hidupnya, dia tetap bersyukur atas nikmat yang ada kini ditambah pula dengan kesabaran menghadapi ujian hidup yang telah ALLAH uji berlainan tahapnya untuk setiap hamba-Nya. Dalam hatinya sentiasa ditanam azimat inspirasi ini:


"Setiap ujian yang ALLAH turunkan sebenarnya tanpa kita sedari membuka jalan untuk kita lebih mendekati Yang Maha Pencipta"


SUBHANALLAH~ Indahnya ujian dari Tuhan sekiranya kita mampu menyelami.
Sememangnya ALLAH Maha Penyayang terhadap hamba-Nya.



P/S: Hidayah tetap milik-Nya, sekalipun penyebabnya pelbagai. Berdoalah sentiasa agar hidayah Ilahi sentiasa mleingkari setiap perkataan dan perbuatan kita, dengan Izin-Nya. AMEEN.


balqiszafira87
Taman Permai 1
3.05 am, 4 Jun 2011



Monday, April 4, 2011

AMANAT EMAS

Assalamu'alaikum buat pengunjung blog semua..(^^,).
Terima kasih sekali lagi buat kamu yang sudi menjenguk blog tulisan hamba ni...
syukran..syukran!

Sedang berbicara dengan seorang sahabat, teringin menjadikan setiap butir bicara kami sebagai perkongsian buat kalian. Yang mana aku merasakan ia amanat emas yang sangat berharga untuk aku biarkan serpihan-serpihan bicaranya berlalu di bawa angin begitu sahaja. Lalu jemari ini meronta-ronta minta direalitikan apa yang berada di fikiran. Sungguh, sehingga saat ini amanat ini begitu meninggalkan kesan terhadap mindaku. Walaupun si sahabat merendah diri hanya menyampaikan amanat itu yang datang dari orang yang lebih berpengalaman, namun aku begitu menghargainya kerana ilmu yang disampaikan begitu mengusik hati dan jiwa. Dan dengan rendah diri jua aku menyampaikan kepada kalian mudah-mudahan ada manfaat walaupun sebesar hama cuma. Insya-Allah, denan izin-Nya.

Pemberi amanat: "What do you want to achieve in life?"
Begitu soalan yang diajukan setelah lama kami berbicara tentang hal duniawi.

Penerima amanat mula berfikir, adakah soalan itu memerlukan jawapan ataupun ingin disambung bicara tentang jawapannya. Minda mula diketuk-ketuk minta jawapannya. Bertanyakan hati, hati mula memberi respon. "Ingin berjaya dunia dan akhirat". Fikirnya. Tapi tidak disuarakan. Hanya hati yang mengetahui.

Pemberi amanat: Saya cuma menyampaikan ilmu yang saya terima dari orang yang lebih berpengalaman. Katanya, soalan ini sering dilontarkan kepada anak-anak buah di bawahnya. Macam-macam jawapan yang diberi antaranya “Nak ada rumah sendiri”, “Mengimpikan kereta besar dan mewah satu ketika nanti”, “Nak jadi isteri yang baik dan solehah”, dan berbagai lagi. Hampir boleh disimpulkan semua impian yang begitu mahal ‘harga’nya.

Monolog dalaman si Penerima amanat: Erm, kebanyakan jawapan “what do you achieve in life” lebih menjurus jawapannya ke arah duniawi kan. Betul juga kerana kita hidup dalam kehidupan ini, jadi sudah pasti kita cuma menyedari yang tersurat sahaja. Bisik hati penerima amanat.

Lantas pemberi amanat menyambung lagi kronologi amanatnya. Seolah-olah dia telah memasukkan dirinya ke dalam diri orang yang menyampaikan ilmu tersebut kepadanya kerana dia begitu khusyuk menyampaikan sehingga si penerima amanat begitu terpana dengan buah bicaranya. Dalam hatinya berkata, “tidak kiralah siapa penyampainya asalkan ilmu itu boleh disampaikan”.

Pemberi amanat mula menyusun bicara.

Pemberi amanat: Soalan itu tadi sebenarnya memerlukan pemikiran yang mendalam sebelum kita betul-betul pasti dan yakin apa yang ingin kita capai dalam hidup ini. Kita koreksi semula, “Siapakah kita dalam kehidupan ini?”. Dia diam sementara,mungkin memberi laluan untuk si penerima amanat mula merencana jawapan. Namun si pemberi amanat terus meneruskan kata lagi.

AMANAT EMAS SATU: KITA KHALIFAH?

Pemberi amanat: “Ya, kita khalifah. Khalifah bererti KETUA, PEMIMPIN. Setiap hamba Allah yang dicipta-Nya lebih spesifik lagi kita menggelarnya manusia dalam kehidupan ini. Saya, kamu, anda, dia, mereka, malah kita semua telah ditugaskan memikul tanggungjawab KHALIFAH ini. Begitu Allah meletakkan manusia ciptaan-Nya sehingga setiap insan punya peranan masing-masing. Dari sekecil-kecil tanggungjawab kepada seberat-berat tanggungjawab.

Bermula dari diri sendiri, kita lah yang bertanggungjawab memimpin diri sendiri. Malah peranan dan tanggungjawab sebagai khalifah ini tidak hanya kita memimpin yang empunya diri, tetapi dilebarkan lagi sehingga kita di tuntut memimpin keluarga (bagi si lelaki), memimpin manusia lain tidak mengira dari sudut apa pun.

Contoh mudah yang boleh diambil, walau nampak kecil peranan seorang tukang sapu namun dia lah yang bertanggungjawab menjaga kebersihan kawasan yang dipertanggungjawabkan . Tiada si tukang sapu, bertebaranlah habuk dan sampah di merata-rata. Lain pula tanggungjawab berat yang dipikul seorang pengarah urusan; bukan sahaja memastikan tanggungjawabnya lunas, malah dia perlu menjaga kebajikan pekerja-pekerja bawahnnya.

AMANAT EMAS DUA: IBADAH=NIAT KERANA ALLAH?

Beribadah tidak terhad pada perkara keagamaan sahaja. Malah apa sahaja yang kita lakukan kerana Allah dianggap ibadah. Insya-Allah. Begitu katanya lagi. Malah tanamkan dalam diri yang setiap perbuatan kita diniatkan kerana Allah akan mendapat ganjaran dari Yang Esa. Mudah-mudahan. Bersangka baik kepada Allah itu lebih memotivasikan diri untuk berbuat perkara kebaikan.

Sedari bangun tidur, doa dipanjatkan padaNya atas izinNya memberi ruang kehidupan untuk kita hari ini. Setelah melalui seharian yang panjang dengan berbagai kerenah dan ragam manusia, dengan rezeki yang datang tidak terduga, dengan umur yang masih berbaki ini, dengan ujian yang harga nilainya begitu tinggi andai dapat kita fahami...melihat pula bagaimana kita menghadapi situasi yang ada naik turunnya, maka selalu lah bisikkan dalam hati bahawa setiap yang kita perbuat asal saja kerana ALLAH, lebih menebal lagi rasa hati untuk sentiasa bersyukur dengan nikmat yang diberi walau sebesar hama.

SUNGGUH! Dua Amanat ini begitu mendalam, tazkirah yang cukup menjentik akal agar berfikir sejenak akan apa yang telah aku jalani hari ini, apa yang aku lalui hingga saat ini, apa yang aku rasai di segenap hati sepanjang masa yang telah berlalu dan bakal berlalu.


P/S: Moga hati ini terus diasah dengan peringatan-peringatan kecil namun kesannya begitu mendalam terhadap jiwa dan raga. Ameen..! TERIMA KASIH SAHABAT...!

Monday, February 14, 2011

Rasulullah ikon cinta sebenar umat Islam


Oleh Muhammad Asyraf (Juara program Imam Muda)



Kasih sayang Nabi Muhammad SAW terhadap generasi muda lebih hebat, wajar diingati


RASULULLAH SAW tidak melupakan golongan pemuda malah, sebahagian pemuda digambarkan secara jelas rasa cintanya Nabi SAW kepada mereka. Rasulullah tidak menyembunyikan rasa sayang. Apa terpendam dalam diri, pasti digambarkan Baginda.

Disebabkan itulah, setiap kemarahan Baginda membuatkan tertunduknya wajah sahabat kerana terpancar merah saga mukanya. Apabila Baginda gembira, tergambar indah daripada lakaran senyuman bibirnya membuatkan semua merindui wajah seceria itu.
Ada sahabat yang masih muda disebut-sebut Baginda SAW sebagai manusia terpilih untuk dicintai Rasulullah. Usamah bin Zaid dikritik sahabat lain kerana tidak puas hati beliau terpilih sebagai panglima perang dalam usia cukup muda.
Lalu Baginda Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Jika kalian mencela kepemimpinannya, maka kalian juga mencela kepemimpinan ayahnya sebelum ini. Demi Allah dia (ayahnya) sangat layak menduduki jawatan panglima dan dia salah seorang yang paling aku cintai. Dan Usamah adalah orang yang paling aku cintai sesudah ayahnya.” (Hadis riwayat Bukhari)


Rasa cinta Rasulullah kepada Usamah turut digambarkan oleh Ibnu Umar dengan katanya: “Sekiranya Rasulullah SAW melihatnya, nescaya beliau akan mencintainya.” (Hadis riwayat Bukhari)


Begitu juga rasa cinta Nabi SAW kepada cucunya iaitu Hassan dan Hussain sehingga Baginda mendoakan mereka dengan doa yang bermaksud: “Ya Allah, cintailah keduanya kerana aku mencintai keduanya.” (Hadis riwayat Bukhari)
Rasulullah juga memuliakan orang muda. Pernah suatu ketika, Nabi SAW menghadiri satu majlis yang dihadiri pembesar kaum, beliau dengan sendiri menunjukkan penghargaan kepada orang muda.


Diriwayatkan dari Sahl bin Sa’ad: Rasulullah SAW mendapat hidangan segelas minuman dan beliau meminumnya. Di sebelah kanan Baginda ada anak paling muda yang hadir. Di sebelah kiri Baginda ramai yang sudah tua. Baginda bertanya: “Hai anak, apakah kamu mengizinkanku memberi minuman ini kepada orang tua itu? Si anak muda itu menjawab: Wahai Rasulullah SAW, aku tidak akan mendahulukan seorang pun disebabkan keutamaanku di sebelah engkau. Maka Baginda memberikan minuman kepada anak muda itu.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)


Diceritakan oleh Salamah: “Rasulullah SAW memboncengku menaiki kenderaan berkali-kali. Baginda mengusap wajahku berkali-kali. Baginda meminta ampun kepadaku sebanyak bilangan jari jemariku di kedua tanganku.” (Hadis riwayat at-Tabrani)


Kisah cinta Rasulullah kepada orang muda mesti dibalas dengan cinta. Siapa kita di akhirat kelak andai cinta yang ditunjukkan Baginda kepada umatnya tidak dibalas setanding dengannya.


Antara kaedah untuk kita membalas cinta Rasulullah ialah mengisytiharkan rasa cinta walau ia belum pernah dipupuk. Dengan meletakkan cinta kepada Rasulullah melebihi cinta terhadap dirinya sendiri.


Umar al-Khattab berkata kepada Rasulullah SAW: “Ya Rasulullah, sungguh engkau lebih kucintai daripada segala sesuatu kecuali diriku sendiri. Nabi SAW bersabda: Tidak, demi Allah yang diriku berada di tangan-Nya sehingga aku lebih dicintai daripada dirimu sendiri. Umar RA berkata: Maka sesungguhnya sekarang demi Allah sungguh engkau kucintai lebih dari diriku sendiri.” (Hadis riwayat Bukhari)


Sesudah mengisytiharkan cinta kita, maka ia perlu disambut dengan mengamalkan sunnahnya dan inilah yang dimaksudkan oleh Imam Ibnu Kathir ketika menafsirkan surah Ali-Imran, ayat 31 yang bermaksud: “Katakanlah, jika kamu benar-benar mencintai Allah, ikutlah aku (Rasulullah) nescaya Allah Mengasihimu.”


Kata Imam Ibnu Kathir, ayat ini sebagai pemutus hukum bagi setiap orang yang mengaku mencintai Allah tetapi tidak menempuh jalan Nabi Muhammad SAW, maka pengisytiharan cintanya adalah suatu pembohongan sehinggalah ia mengikuti syariat dan agama dibawa Nabi Muhammad SAW dalam semua ucapan dan perbuatannya.


Sebab itulah perasaan cinta kepada Rasulullah mesti serasi dengan mengikuti jejak sunnahnya. Cinta dan mengikut sunnah tidak boleh berpisah. Siapa tidak mengenali Abu Talib ayah saudara Nabi SAW yang mencintai Nabi SAW dengan cinta yang sangat hebat.


Namun disebabkan cinta itu bukan saja boleh dituruti oleh hati, namun mengikuti ajaran Nabi itu perlu seiring, maka cintanya tertolak kerana menolak mengikut ajaran Nabi SAW.


Begitu juga jika hanya mengikut petunjuk dan mengamalkan ajaran Nabi SAW, tetapi tidak seiring dengan cinta kepada Nabi SAW, maka ia juga tertolak.
Abdullah bin Ubay bin Salul, seorang munafik yang solat di belakang Nabi SAW. Beliau menuruti ajaran Baginda namun tersemat dalam hatinya perasaan bencikan Nabi SAW, maka segala amalannya tertolak.


Remaja kini hanya mengingati ikon cinta dan kasih sayang milik Saint Valentine hingga tidak sabar meraikan hari kekasih pada 14 Februari tetapi melupakan tarikh 12 Rabiulawal yang sepatutnya mengingatkan mereka kepada ikon kasih sayang lebih hebat dan mulia.


Sedihnya, kisah cinta Rasulullah kepada umatnya sudah hilang daripada diari hidup remaja. Justeru, marilah mengenang kembali kisah Rasulullah yang mengalir darah di kaki Baginda akibat dibaling batu oleh penduduk Thaif yang menolak dakwah Baginda.


Ketika hadirnya malaikat penjaga gunung yang bersimpati dan bertanya mahukah Baginda jika penduduk Thaif dimusnahkan, Rasulullah menolak sebaliknya berdoa supaya penduduk Thaif mendapat hidayah petunjuk dari Allah.


Hebat benar kisah cinta Nabi SAW kepada umatnya membuatkan Baginda terlupa luka di kaki yang berdarah. Namun kita sebagai umatnya, tidak mahu menjadikan Baginda sebagai ‘ikon cinta.’


Semasa Nabi SAW menakluk Kota Makkah bersama sepuluh ribu tentera, sahabat lain mengenang kembali saat umat Islam diusir dan ada sahabat yang dicincang oleh kafir Quraisy. Betapa hina mereka difitnah dan dicaci sebelum ini.


Lalu seorang sahabat bangun dan berkata: “Hari ini adalah hari pembunuhan balik (balas dendam) terhadap musyrik yang memerangi mereka.”


Bagaimanapun, jiwa yang amat mencintai umatnya iaitu Muhammad SAW menolak dan berkata: “Bukan, sesungguhnya hari ini adalah hari kasih sayang.”


Sayangnya, sejarah ini dilupakan umat Nabi Muhammad sehingga lebih mengagungkan ikon cinta agama lain. Sedangkan, kita memiliki ikon cinta sebenar yang lebih hebat serta tinggi kedudukannya.


Benarlah ungkapan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Aku adalah kasih sayang yang dihadiahkan.” (Hadis riwayat al-Hakim). Ya Rasulullah, kami mencintaimu, moga ditetapkan hati kami di atas ketaatan mengikut petunjuk ajaranmu.


SELAWAT KE ATAS BAGINDA NABI MUHAMMAD JUNJUNGAN KITA...sollollahu'alaihi wassalam...

Sunday, January 9, 2011

Mahabbah~Kasih Sayang Ilahi


Cinta menuju jalan Illahi

Cinta haqiqi yang amat suci

Tenang terasa…rindu padaNya

Bila mendapat siraman hidayah

Lisan bertasbih…berzikir dengan ma’arifah

Taubat menyusul memohon maaf padaNya

Menyesali…menyesal…menyesal

atas dosa-dosa

Jiwa insani hidup bernadi

Tulus sejernih embun syurgawi

Saat melakar cinta sejati

Allah disembah sering diingati

Rela diuji asalkan kasih bersemi

Biarlah derita pengubat kasih sayangNya

Itulah…Tajalli…cintakan Allah

Mahabbah…Mahabbah…Mahabbatullah

Kesunyian jiwa…kegersangan iman…

Kehilangan bahagia…sesat di persimpangan

Pengajaran bayangan seksa dunia

Kembali…kembali…kembalilah…

pada Allah

Carilah……..carilah…..carilah…

CintaNya..........

Wednesday, December 29, 2010

Rapuh Langkah Seorang Hamba


Detik waktu terus berjalan berhias gelap dan terang
suka dan duka tangis dan tawa tergores bagai lukisan.....
Seribu mimpi berjuta sepi hadir bagai teman sejati
di antara lelahnya jiwa dalam resah dan air mata
kupersembahkan kepadaMu yang terindah dalam hidup...
Meski ku rapuh dalam langkah kadang tak setia kepadaMu
namun cinta dalam jiwa hanyalah padaMu...
Maafkanlah bila hati tak sempurna mencintaiMu
dalam dadaku harap hanya
diriMu yang bertahta...
Detik waktu terus berlalu semua berakhir padaMu.....

Tuesday, December 14, 2010

Buat hati tersenyum


Senyum. Senyum. Dan senyum lagi.

Hatinya tercuit jua kekadang pabila melihat gelagat dan tingkah manusia sekeliling.

Itulah ‘hiburan’ sementara yang bukan dibuat-buat mahupun direka-reka. Bukan kerahan tenaga yang diperlukan seperti seorang director mengarahkan filem komedinya. Plot dan watak harus dijaga keseimbangan agar lawak menjadi dengan situasi.

Tapi tidak ini. Ini realiti. Realiti sebuah kehidupan fana’.

Bukan niat untuk memperlekeh jauh sekali menghukum sifat manusia.

Cuma hati terusik, lalu impuls dihantar ke otak agar melarikkan sedikit senyuman di bibirnya.

Hakikatnya itulah kita. Manusia yang punya banyak kerenah dan ragam.


Senyum satu


Petang itu berlatarkan suasana sekitar perhentian bas yang cukup sibuk di bandar, menggamit rasa melihat lagi tabiat manusia di sekeliling melalui tingkap bas berhawa dingin itu. Sedang mengelamun, terlihat olehnya tiga orang remaja lelaki melalui kawasan perhentian yang penuh dengan manusia itu.

“Budak sekolah menengah barangkali”, fikirnya.

Berjalan dengan penuh gaya dengan kaca mata hitam, kemeja kotak-kotak ketiga-tiganya lagaknya seperti sang teruna filem lama. Gaya yang berani di khalayak ramai. Manakan tidak buat hati tersenyum lebar. Teringat watak-watak teruna dalam filem “Antara Dua Darjat” mahupun filem komedi “Seniman Bujang Lapuk” lakonan Tan Sri P.Ramlee.


Dalam mindanya cuma terdetik “How brave they are? Mungkin ada ‘geng’ kot, sebab tu diorang berani”, fikirnya lagi. Pengaruh rakan sebaya. Senyum. Teringat rangkap kata yang selalu digunakan untuk buat karangan fakta Bahasa Melayu.


Memandangkan mereka masih remaja, hatinya tersenyum lagi. Memang tidak dinafikan. Zaman remaja adalah satu zaman yang seronok, zaman mencuba perkara baru, zaman yang adakalanya boleh jadi pemberontakan di situ dek kerana terlalu mengikut putaran masa dan waktu. Hati terlalu tega waktu itu mencuba itu dan ini. Boleh jadi zaman kritikal juga dalam hidup seseorang itu. Kritikal kerana apa? Kerana impaknya cukup meninggalkan kesan di masa depannya.


Dia berdoa agar remaja-remaja lelaki tadi walaupun hebat gayanya di luar, hebat juga jiwa dan rohaninya di dalam dengan izinNya. Senyum.



Senyum dua


Sudah lama dia di situ. Sebuah restoran Melayu di tengah bandar, duduk sedari pagi tadi di sudut hujung yang strategik hanya memesan segelas teh tarik. Sedap, “kaw” pulak tu. Senyum. Dibukanya majalah islamik keluaran baru bulan itu. Ingin diisi masanya di situ dengan menambah ilmu, mudah-mudahan. Helaian demi helaian ditatap dan cuba difahami isi kandungannya.


Sedang leka membaca, meja di hadapan tempatnya dikunjungi sekumpulan manusia. Seorang ayah berkopiah putih yang sederhana tinggi orangnya bersama anak perempuan…1..2..3..4..dan 5! Ya..lima orang anak perempuannya. Semua masih kecil, lingkungan umur 3-12 tahun barangkali. Dan yang buat dia tersenyum, anak-anak perempuannya yang masih kecil itu semuanya bertudung…Masya-Allah! Senyum.

Matanya melingkari lagi mencari ibu mereka. Namun tiada. Kerja barangkali, atau mungkin sahaja ibu mereka di rumah bersama anak kecil. Dididik mindanya agar menjauhkan fikiran yang negatif, yang sia-sia.


Apa yang menariknya, di hadapannya kini terlihat bagaimana si ayah melayan satu persatu kerenah anaknya. Ditanya pada setiap seorang apa yang mereka mahu makan dan minum. Si anak perempuan berebut-rebut memberitahu. Senyum. Sangat comel keadaan tu. Senyum lagi dia. Disebabkan si anak yang paling kecil mungkin banyak kerenahnya, si ayah terus mengambilkan sepinggan mi goreng bersama sebatang sudu dan diletak di hadapan anak kecil itu. Anak kecil itu pun leka menghadap hidangannya. Maka mudahlah bagi si ayah melayan anak-anak yang lain. Dua orang kakak ditugaskan menemani adik kecil mereka makan sementara si ayah bersama dua anak perempuannya lagi mengambil makanan. Tugasan bergilir. Sekembalinya mereka, si kakak berdua tadi pun mendapatkan makanan mereka. Nice co-operation between them. Sejuk hati melihat. Senyum lagi.


Doanya agar keluarga tersebut sentiasa dilimpahi kasih sayang, si ayah sentiasa sabar dan tabah mendidik kesemua anak-anak perempuannya dan yang pasti doanya untuk anak-anak perempuan yang masih kecil itu agar menjadi muslimah sejati bila dewasa kelak. Senyum.


Senyum tiga


Di serah syiling 30 sen kepada lelaki India yang menjaga tandas awam. Petang itu hujan lebat, ditambah kesejukan dalam gerabak tadi, terhidrat rasanya. Sebab itu kerap air mineral diminum dalam gerabak tadi. Jadi, sebelum melalui perjalanan seterusnya, hajat mesti ditunaikan dulu. Senyum.


Tiga saat sebelum melangkah keluar semula, didengar lelaki India tadi melaungkan promosi. “Toilet..toilet! Murah je..mari-mari!”

Hati menggeletek senyum, lantas membuatnya ketawa perlahan.

Pandai betul dia buat lawak, fikirnya. Mungkin salah satu cara untuk menghiburkan hati melalui kerjanya dan orang sekeliling.



Hai..macam-macam. Senyum lagi dia. Hehe…



P/S: Senyum..tak perlu kata apa-apa! (Sokong…! Hehe)



Followers

Rapuh-Opick