Entah kenapa malam itu tempat itu lapang sekali.Tiada kesibukan, kurang pergerakan. Semua tetamu seakan berteleku kaku dalam zikir dan fikir. Seseketika bunyi dengus nafas dihela perlahan bersama rintihan. Ada suara esakan tangis, namun perlahan cuma. Bunyi rintihan yang tertahan bersama alunan bacaan Al-Quran bagai melodi yang sungguh mengasyikkan.
Aku masuk ke dalam taman itu bagai sandera yang pasrah. Ku bawa hatiku yang rawan, fikiran yang kelelahan dan nafsu yang masih liar. Aku tidak mahu dan tidak mahu berpura-pura lagi. Inilah diriku wahai ILAHI….Tidak punya kesucian, tidak memiliki keindahan yang dapat aku persembahkan. Inilah diriku yang penuh cela dan noda. Tanpa dapat berselindung, KAU Maha Tahu segala.
Mengapa takdirnya aku ke sini? Ke daerah suci di bayu syurga. Dingin, nyaman dan tenang, istirehat seketika di jalan mujahadahku yang derita. Bukan kerana kebaikanku, tetapi kerana kasih saying-Mu,yang membawa aku di sini. Kau izinkan kaki dan hati yang berdosa ini singgah seketika bagi menatap jalur-jalur cahaya dalam relung diri yang gelap gelita. Benar kata-Mu seperti yang ku dengar sejak dulu, keampunan-Mu sentiasa mendahului murka-Mu.
Kucecahkan dahi di hamparan hijau itu. Seakan ku tuang segala kabut dan serabut fikrah yang kusut. Ku nafikan licik dan strategi segala yang pernah berdetik di minda ini. Fikrah inilah yang mencipta dosa demi dosa. Sesah akal ini ya Allah, palu akal ini ya Rahman, dengan belantan inzar dan tazkirah-Mu. Tuhan, kembalikanlah biduk akalku ke pangkalan takdir-Mu. Fikrah sudah letih belayar tanpa arah.
Sujud dan rukuk aku di sana. Menelanjangi segala aib dan dosa. Tanpa aku mengadu, Kau pun tahu. Namun, itulah wadah tanda menyerah, aku “Abdullah”…aku hamba Allah. Aku pasrah. Aku kalah. Cintaku sekelumit cuma,hampir tiada. Saat ini aku hanya berbekal harapan. Benteng terakhirku hanya rasa tidak berputus asa. Kata kekasih-kekasih-Mu selalu memujuk aku: Kejahatan yang menyebabkan engkau menangis, lebih baik daripada kebaikan yang menimbulkan rasa takbur.
Dalam rasa malu, takut dan harap, masih aku memberanikan diri untuk meminta lagi. Lalu di malam itu, di Raudah itu, ku catatkan gugusan permintaan. Satu demi satu melalui puisi hati. Ku biarkan pena menari,mencari makna dan kata hanya berpandukan rasa. Malam itu walaupun malu, aku tetap meminta syurga.pendahulu bicara hanya ini:
Ya Latif, Berikan aku hati yang lain Yakni hati yang lebih yakin
Hati yang lunak ….agar mampu mencintai-MU
Malam itu adalah malam yang paling panjang dalam sejarah hidupku. Dapatku luahkan segala dan semua. Seakan tercabut “tulang” yang mengait dalam sanubari sekian lama. Namun tiba jua saat berpisah, aku terpaksa melangkah. Pamitan pun berlaku dan gamitan pun berlalu. Sayu benar terasa ketika hatiku terus merayu:
Aku dambakan kebaikan....
yang melahirkan kebaikan
aku pohon ketenangan …yang memberikan ketenangan.
Pinggirkan segala sengketa hampirkan semua cinta
tanpadendam… tanpa prasangka
Jika benar yang kau ajukan permintaan di Raudah itu…hanya ALLAH!
Petikan artikel dari segmen MUHASABAH ANIS (Ogos 2009)
Oleh: Pahrol Mohamad Juoi
P/S:Tatapan khas buat diri ku dan juga kawan-kawan sekalian….moga ada hikmah dan iktibar yang dapat kita ambil dari petikan yang sangat menyentuh sanubari ini bagi sesiapa yang mengetahui.
16 Ogos 2009 (1.47 am)
0 comments:
Post a Comment