Ahad. 9 Mei 2010.Hari pertama di rumah setelah berakhirnya kehidupan di kampus.
Petang ini, Pesona 3 di TV3 memaparkan cerita “Pensil”. Dengan tidak semena-mena cerita ini telah menarik perhatianku untuk melekat di kaca TV selama 2 jam. Lagu intro nya sahaja telah membuat hatiku agak rawan. Tidak pasti. Mungkin kerna liriknya yang beberapa kerat itu.
Kisah ini menceritakan seorang anak istimewa, Badrul yang digelar budak gelap di kampungnya. Sangat sayangkan ibunya.Cacat dan terencat akalnya. Mulanya aku tidak pasti apakah puncanya. Bertanyakan kepada ibuku, tetapi tiada jawapan yang pasti. Mungkin disebabkan cerita ini tidak menceritakannya. Namun, setelah ku amat-amati kisahnya, Badrul menghidap demam panas di waktu kecilnya. Sehinggakan ayahnya mencari ubat untuknya dan untuk itu ayahnya meninggal dunia akibat kemalangan dilanggar lori. Pernyataan ini yang sering diulang-ulang oleh makciknya sehingga Badrul dikatakan membawa sial atau nasib buruk kepada keluarganya.
Menariknya cerita ini kerana tajuknya membuatku tertanya-tanya-kenapa “Pensil”? Apakah cerita disebalik nama alat tulis yang biasa-biasa itu. Kalau tidak silapku, kisah “Pensil” ini pernah dibukukan di dalam antologi sastera dalam Bahasa Inggeris untuk Tingkatan berapa aku tidak pasti. Macam pernah ku baca, tetapi itu sudah berapa tahun yang lalu. Mungkin 10 tahun yang lalu barangkali. Isinya pun tidak ku ingat langsung. Namun, melalui kisah “Pensil” ini baru ku tahu mengapa “Pensil” dan kenapa tidak yang lain.
Jikalau kita ditanya sekarang apakah barang kesukaan kita, mungkin jawapannya pelbagai. Ada yang mungkin sukakan kereta, telefon bimbit canggih, MP3 player dan yang sebanding dengannya. Aku tertarik dengan jawapan Badrul ketika ditanya neneknya, apa benda yang Badrul suka? Jawapan Badrul- mak! Sayang mak! Ketawa si nenek, langsung dibalasnya “Itu manusia, kalau benda?”
Badrul lantas mencapai sebatang dahan kecil dan diukirkan nama benda yang disukainya--- P.E.N.S.I.L. Ya..pensil! Aku tidak pernah terbayang akan menyukai sebatang pensil. Ada apa pada pensil hingga perlu disukai sebegitu rupa. Tetapi aku silap. Kesempitan hidup dan kesukaran hidup apabila sering dicaci, dimaki, diherdik oleh orang-orang disekelilingnya termasuk ibu tirinya sendiri tidak membuatkan dia mengimpikan yang mewah-mewah. Dia sedar letak duduknya di mana di pandangan manusia. Cukup apabila dia tahu akan kesukaan dan kehendaknya. Anugerah seni yang di beri oleh Allah padanya sudah cukup menggambarkan hasil seninya dengan melukis potret. Tidak hairanlah Badrul begitu sukakan pensil; setiap kali ke kedai pasti dia akan membeli sebatang pensil hasil jualan bubur kacang hijau yang dia bikin sendiri. Dan kerana PENSIL itulah dia begitu menghargai kebolehan yang ada padanya sehingga diberi galakan oleh neneknya supaya keluar dari kesempitan hidup itu dan cari rezeki dengan kebolehnnya itu. Mudah-mudahan.
Kisah ini tidak hanya berkisar pada sebatang pensil. Aku cukup terharu dan tidak semena-mena menitiskan air mata melihat kehidupannya yang tidak putus-putus di datangkan ujian dan dugaan. Badrul mampu memberi keinsafan kepada seseorang yang hampir-hampir putus asa sehingga ingin membuat perkara yang bertentangan dengan landasan Islam. Disebabkan kehidupan silam yang pahit dan dosa yang dilakukan darah daging sendiri, perlukah kita menjejaki dan mewarisi perkara yang sama? Aku berfikir sendiri. Jawapannya pasti TIDAK. Cukup meruntun perasaan pabila Badrul menenangkan sahabatnya itu hanya dengan meminta sahabatnya mengingati Yang Esa. Diukirkan di atas tanah kalimah “ALLAH”. Sering dia ingatkannya dengan lafaz – Ingat ALLAH, ALLAHU-AKBAR!!! Dipeluknya hamba Allah itu dengan penuh sifat sayang atas dasar kemanusiaan.
Terkadang aku terfikir pabila melihat kehidupan Badrul yang begitu sukar untuk bernafas dalam kehidupan tatkala diselubungi hasad dan dengki orang-orang sekelilingnya; takkan tiada langsung orang yang baik dan kasihankan si Badrul ini…? ALLAH itu Maha Adil dan Penyayang buat hambaNya….
Kehadiran si Nenek yang cukup baik pada Badrul sekurang-kurangnya si anak ini ada tempat meluahkan rasa yang ditanggung. Bayangkan tiada seorang pun disisi untuk meluahkan rasa yang ditanggung, pasti tiada kekuatan untuk meneruskan hidup. Hanya Allah sebagai pengharapan tatkala itu.
ALLAH, ALLAH, ALLAH!
Sungguh terkesan kisah kehidupan ini buatku. Mungkin juga sama buat kalian yang menonton kisah yang sama. Bukan hanya pada nama kisah ini, tapi apalah salahnya andai iktibar dari kisah itu juga kita serapkan ke dalam diri kita. Banyak mesej yang sampaikan dan terpulang pada kita untuk mengambil semua atau salah satu darinya. Insya-Allah.
P/S: Kehidupan dalam lakonan semata-mata juga mampu menjadikan kita lebih berfikir tentang kehidupan realiti, renung-renungkanlah…! Hakikatnya, kita adalah pelakon dalam kehidupan dunia ini….
0 comments:
Post a Comment