BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Tuesday, December 14, 2010

Buat hati tersenyum


Senyum. Senyum. Dan senyum lagi.

Hatinya tercuit jua kekadang pabila melihat gelagat dan tingkah manusia sekeliling.

Itulah ‘hiburan’ sementara yang bukan dibuat-buat mahupun direka-reka. Bukan kerahan tenaga yang diperlukan seperti seorang director mengarahkan filem komedinya. Plot dan watak harus dijaga keseimbangan agar lawak menjadi dengan situasi.

Tapi tidak ini. Ini realiti. Realiti sebuah kehidupan fana’.

Bukan niat untuk memperlekeh jauh sekali menghukum sifat manusia.

Cuma hati terusik, lalu impuls dihantar ke otak agar melarikkan sedikit senyuman di bibirnya.

Hakikatnya itulah kita. Manusia yang punya banyak kerenah dan ragam.


Senyum satu


Petang itu berlatarkan suasana sekitar perhentian bas yang cukup sibuk di bandar, menggamit rasa melihat lagi tabiat manusia di sekeliling melalui tingkap bas berhawa dingin itu. Sedang mengelamun, terlihat olehnya tiga orang remaja lelaki melalui kawasan perhentian yang penuh dengan manusia itu.

“Budak sekolah menengah barangkali”, fikirnya.

Berjalan dengan penuh gaya dengan kaca mata hitam, kemeja kotak-kotak ketiga-tiganya lagaknya seperti sang teruna filem lama. Gaya yang berani di khalayak ramai. Manakan tidak buat hati tersenyum lebar. Teringat watak-watak teruna dalam filem “Antara Dua Darjat” mahupun filem komedi “Seniman Bujang Lapuk” lakonan Tan Sri P.Ramlee.


Dalam mindanya cuma terdetik “How brave they are? Mungkin ada ‘geng’ kot, sebab tu diorang berani”, fikirnya lagi. Pengaruh rakan sebaya. Senyum. Teringat rangkap kata yang selalu digunakan untuk buat karangan fakta Bahasa Melayu.


Memandangkan mereka masih remaja, hatinya tersenyum lagi. Memang tidak dinafikan. Zaman remaja adalah satu zaman yang seronok, zaman mencuba perkara baru, zaman yang adakalanya boleh jadi pemberontakan di situ dek kerana terlalu mengikut putaran masa dan waktu. Hati terlalu tega waktu itu mencuba itu dan ini. Boleh jadi zaman kritikal juga dalam hidup seseorang itu. Kritikal kerana apa? Kerana impaknya cukup meninggalkan kesan di masa depannya.


Dia berdoa agar remaja-remaja lelaki tadi walaupun hebat gayanya di luar, hebat juga jiwa dan rohaninya di dalam dengan izinNya. Senyum.



Senyum dua


Sudah lama dia di situ. Sebuah restoran Melayu di tengah bandar, duduk sedari pagi tadi di sudut hujung yang strategik hanya memesan segelas teh tarik. Sedap, “kaw” pulak tu. Senyum. Dibukanya majalah islamik keluaran baru bulan itu. Ingin diisi masanya di situ dengan menambah ilmu, mudah-mudahan. Helaian demi helaian ditatap dan cuba difahami isi kandungannya.


Sedang leka membaca, meja di hadapan tempatnya dikunjungi sekumpulan manusia. Seorang ayah berkopiah putih yang sederhana tinggi orangnya bersama anak perempuan…1..2..3..4..dan 5! Ya..lima orang anak perempuannya. Semua masih kecil, lingkungan umur 3-12 tahun barangkali. Dan yang buat dia tersenyum, anak-anak perempuannya yang masih kecil itu semuanya bertudung…Masya-Allah! Senyum.

Matanya melingkari lagi mencari ibu mereka. Namun tiada. Kerja barangkali, atau mungkin sahaja ibu mereka di rumah bersama anak kecil. Dididik mindanya agar menjauhkan fikiran yang negatif, yang sia-sia.


Apa yang menariknya, di hadapannya kini terlihat bagaimana si ayah melayan satu persatu kerenah anaknya. Ditanya pada setiap seorang apa yang mereka mahu makan dan minum. Si anak perempuan berebut-rebut memberitahu. Senyum. Sangat comel keadaan tu. Senyum lagi dia. Disebabkan si anak yang paling kecil mungkin banyak kerenahnya, si ayah terus mengambilkan sepinggan mi goreng bersama sebatang sudu dan diletak di hadapan anak kecil itu. Anak kecil itu pun leka menghadap hidangannya. Maka mudahlah bagi si ayah melayan anak-anak yang lain. Dua orang kakak ditugaskan menemani adik kecil mereka makan sementara si ayah bersama dua anak perempuannya lagi mengambil makanan. Tugasan bergilir. Sekembalinya mereka, si kakak berdua tadi pun mendapatkan makanan mereka. Nice co-operation between them. Sejuk hati melihat. Senyum lagi.


Doanya agar keluarga tersebut sentiasa dilimpahi kasih sayang, si ayah sentiasa sabar dan tabah mendidik kesemua anak-anak perempuannya dan yang pasti doanya untuk anak-anak perempuan yang masih kecil itu agar menjadi muslimah sejati bila dewasa kelak. Senyum.


Senyum tiga


Di serah syiling 30 sen kepada lelaki India yang menjaga tandas awam. Petang itu hujan lebat, ditambah kesejukan dalam gerabak tadi, terhidrat rasanya. Sebab itu kerap air mineral diminum dalam gerabak tadi. Jadi, sebelum melalui perjalanan seterusnya, hajat mesti ditunaikan dulu. Senyum.


Tiga saat sebelum melangkah keluar semula, didengar lelaki India tadi melaungkan promosi. “Toilet..toilet! Murah je..mari-mari!”

Hati menggeletek senyum, lantas membuatnya ketawa perlahan.

Pandai betul dia buat lawak, fikirnya. Mungkin salah satu cara untuk menghiburkan hati melalui kerjanya dan orang sekeliling.



Hai..macam-macam. Senyum lagi dia. Hehe…



P/S: Senyum..tak perlu kata apa-apa! (Sokong…! Hehe)



0 comments:

Followers

Rapuh-Opick