BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Tuesday, July 24, 2012

Ramadhan Bulan Mujahadah, Bukan Bulan Juadah


Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Salam Ramadhan, Salam Ramadhan, Salam Ramadhan untuk kalian.
(Semacam berdekad rasanya tidak menukil di sini...hehe)

Alhamdulillah, syukur..syukur..syukur pada Allah.
Dengan izin-Nya Dia memberi peluang untuk kita bertemu Ramadhan Kareem sekali lagi. Nikmat paling besar yang tidak ternilai harganya buat ummat Islam seluruhnya. Ganjaran berlipat kali ganda untuk ibadah yang dizahirkan hanya mengejar mardhatillah yakni keredhaan Allah.

Subhanallah, Allahuakbar~! Lalu bagaimana iman kita menjelang bulan Ramadhan? Bahagiakah atau sebaliknya? Khabar gembira tentunya buat mereka yang beriman,ibarat menanti ketibaan kekasih tercinta setelah sekian lama tiada khabar berita. Alhamdulillah, seandainya begitu perasaan kita tatkala itu. Maka kerna itulah kita perlu sentiasa koreksi dan muhasabah iman kita setiap detik dan waktu.

Nabi Muhammad Saw bersabda; “Siapa yang bergembira menyambut kedatangan bulan suci Ramadhan, Allah mengharamkan tubuhnya disentuh oleh api neraka” (Al-Hadis).

Memasuki Ramadhan bukan hanya dengan menahan lapar perut dan hausnya tekak semata, membawa sikap buruk yang sama tanpa pembaikan. Tetapi memasuki Ramadhan dijanjikan rahmat di awalnya, maghfirah di pertengahannya dan pembebasan api neraka di hujungnya. mampukah lagi kita hanya membiarkan semua ganjaran itu berlalu pergi tanpa ada usaha mendapatkannya?

Alangkah ruginya umat Islam andai itu berlaku. Sesungguhnya, demi masa itu akan jadi satu penyesalan hebat di perhitungan kelak. Na'uzubillah min zalik.
Harapanku semoga umat Islam ini celik bahawa Ramadhan perlukan mujahadah insan dalam hitungan hari-harinya selama 30 hari. Jadi target dan matlmat perlu ada dalam mendapatkan hasilnya. Sesuai dengan ayat suci al-Quran surah al-Baqarah ayat 183 yang telah menetapkan matlamat puasa kita sebenarnya.

SMART RAMADHAN

Masjid Al-Mukarramah, Sri Damansara
(Lokasi atas bukit, sangat cantik...1st time tengok macam masjid kat Turki)

Alhamdulillah saya terlalu bersyukur dapat mengikuti Seminar Penghayatan Ramadhan (SMART Ramadhan) di Masjid Al-Mukarramah, Sri Damansara pada hari pertama dan kedua Ramadhan 1433H (22&23Julai 2012- jatuh pada Sabtu dan Ahad). Jemputan dari seorang sahabat di facebook tidak terlintas di fikiran untuk berfikir panjang. Inilah yang saya cari - majlis ilmu seumpama ini lebih-lebih lagi berkenaan Ramadhan. Yang mana ia datang setahun sekali, dan itupun jika kita berkesempatan sampai kepada Ramadhan yang berikutnya. Disebabkan setahun sekali, maka sekali itulah kita perlu manfaatkannya. Mungkin sahaja bab puasa kita sudah mahir namun manusia ini lemah sifatnya. Perlunya pada tazkirah dan peringatan yang sentiasa 'refresh' minda kita dan ilmu kita.



Saya merasakan ingin menjadikan Ramadhan kali ini lebih bermakna dan lebih terkesan dengan jiwa berbanding Ramadhan yang lalu. Setiap dari kita pastinya mahukan yang lebih baik dari apa yang dia telah lalui sebelum ini. Maka, di sini saya berhasrat untuk berkongsi ilmu yang saya dapat sepanjang Seminar SMART Ramadhan 1433H yang lalu,masih terngiang-ngiang di pendengaran kalam ustaz dan ustazah yang menyampaikan ilmu. Apapun saya dapat kesimpulan yang mantap hasil dari majlis ilmu ini dan akan saya simpulkan untuk kalian. Mudah-mudah bermanfaat, InsyaAllah.

TUJUAN PUASA


Sepanjang ceramah, ayat 183 Surah Al-Baqarah diulang-ulang sehingga terpahat di ingatan menunjukkan betapa ibadah puasa itu bukan bertujuan menahan lapar dan dahaga semata. Tetapi jika kita lihat ayat ini, di hujung ayat dinyatakan dengan jelas tujuan muslim berpuasa yakni ayat "La'allakum Tattaqun" - Menjadi Orang Bertaqwa.

INPUT mewakili IMAN
 - Wahai orang-orang yang beriman...
 (Khusus untuk orang-orang Islam yang BERIMAN)

PROSES mewakili IBADAH PUASA
- Telah diwajibkan ke atas kamu berpuasa, sebagaimana ia telah diwajibkan ke atas golongan sebelummu.
(Ada orang kita memberi alasan puasa, tak makan akan mati tapi Umat sebelum kita telah pun difardukan ibadah puasa ini dan puasa mereka lebih produktif berbanding kita sehinggakan Perang Badar direncanakan oleh Allah swt ketika umat Islam sedang berpuasa)

OUTPUT mewakili TAQWA
- Mudah-mudahan kamu menjadi orang yang bertaqwa
(Inilah tujuan puasa yang difardhukan ke atas kita sebenarnya, untuk kita menjadi orang yang bertakwa. Subhanallah, Allah sayangkan hambaNya bertakwa.)

Dalam Al-Asas fit Tafsir, Said Hawa menyatakan:
“Takwa adalah hasil daripada hidayah dan hidayah adalah hasil daripada mujahadah.Justeru mujahadah melawan hawa nafsu adalah titik permulaan kepada takwa.”



RAMADHAN ADAT vs RAMADHAN IBADAT

Juadah VS Mujahadah

Jika kita perhatikan fenomena umat Islam akhir zaman ini, juadah dipentingkan ketika bulan Ramadhan. Juadah yang tidak pernah ada diadakan khusus ketika bulan Ramadhan. Maka, orang kita sekarang fokusnya sudah menjadi lain - Juadah, Juadah & Juadah.
Inilah yang terjadi bila tujuan puasa hanya menahan lapar dan dahaga semata-mata.
Betul, tak salah kita mencari makan berbuka puasa, tetapi jangan berlebih-lebihan.
Apa bezanya makan di bulan lain dengan makan di bulan Ramadhan? Cuma waktunya sahaja yang berbeza. Cuba kita lihat jadual di bawah ni...


Benarkan begitu? Kalau kebiasaannya kita makan 4 kali pada bulan biasa, maka yang sama juga berlaku pada bulan Ramadhan. Masih lagi penekanan kepada pemakanan SEIMBANG, SEDERHANA DAN PELBAGAI. ^^, (Selingan Pemakanan Sihat)


 
Maka, ayat Ramadhan Bulan Mujahadah, bukan Bulan Juadah terlalu tepat untuk peringatan kepada kita.
Dengan misi Ramadhan kita yang akhirnya ingin mencapai status TAQWA yang memerlukan usaha dan mujahadah yang bukan sedikit. Pernahkan anda mendengar ini?

MUJAHADAH ITU PAHIT KERNA SYURGA ITU MANIS


Sungguh sekali!

Pengorbanan dan mujahadah kita menjaga puasa dalam segala hal. Menahan nafsu lapar dan dahaga, memelihara seluruh pancaindera kita termasuk pandangan mata dari perkara yang tidak baik, menjaga mata dari mendengar perkara yang tidak elok jauh sekali fitnah, menjaga kata-kata dari kata-kata kesat dan tidak elok. Itulah yang dikata puasa dengan mujahadah.

Mujahadah dalam melakukan amalan wajib dan sunat amat digalakkan. Ini termasuklah puasa wajib kita di bulan Ramadhan, solat 5 waktu, solat sunat, solat tarawih (Qiam Ramadhan), qiraatul (bacaan) Al-Quran, sedekah dan doa. Ganjaran yang dihadiahkan oleh Allah swt kepada hamba-Nya terlalu besar nilainya. Malam LailatulQadar yang lebih baik dari 1000 bulan yang mana ia bersamaan dengan 83 tahun umur kita. Subhanallah!Alhamdulillah!Allahuakbar!

Mari sama-sama kita lonjakkan mujahadah kita di bulan Ramadhan ini agar nanti ia jadi penguat semangat untuk kita terus ISTIQAMAH dengan mujahadah kita di Sebelas bulan yang seterusnya. InsyaAllah...
Jom kita hayati kata-kata ini buat renungan koreksi diri kita...mudah-mudahan...


Imam Al-Ghazali menyatakan dalam Ihya Ulumuddin;
“Antara tanda kecintaan hamba kepada Allah ialah dia mengutamakan perkara yang disukai Allah daripada kehendak nafsu serta peribadi, samada dari aspek zahir atau batin. Oleh itu seseorang yang mencintai Allah sanggup memikul kerja-kerja yang sukar serta sanggup melawan hawa nafsunya kerana Allah, Dia tidak akan sanggup melakukan sesuatu yang maksiat,”



Ya Allah, bantulah hambaMu ini dalam membaiki segala amal kebaikan kepada yang lebih baik, kuatkan hati-hati ini dalam bermujahadah dengan istiqamah selagi hayat yang Kau izinkan ini masih bersisa. Ampunkan dosa-dosa kami yang zahir mahupun yang tidak terlahir dan tidak kami sedari. Sungguh, kami ini terlalu banyak dosanya, hanya Engkau sahaja Ya Allah kami damba keampunanMu. Tunjuki kami jalan menuju syurgaMu, jalan lurus untuk bertemu Mu dan kekasih Mu Muhammad S.A.W di akhirat yang kekal abadi. Ameen Ya Rabb...

Salam Ramadhan dan Salam Mujahadah untuk kawan-kawan sekalian!  Senyum dalam mujahadah ok~! =)

0 comments:

Followers

Rapuh-Opick