Detik waktu terus berjalan berhias gelap dan terang
suka dan duka tangis dan tawa tergores bagai lukisan.....
Seribu mimpi berjuta sepi hadir bagai teman sejati
di antara lelahnya jiwa dalam resah dan air mata
kupersembahkan kepadaMu yang terindah dalam hidup...
Meski ku rapuh dalam langkah kadang tak setia kepadaMu
namun cinta dalam jiwa hanyalah padaMu...
Maafkanlah bila hati tak sempurna mencintaiMu
dalam dadaku harap hanya
diriMu yang bertahta...
Detik waktu terus berlalu semua berakhir padaMu.....
Wednesday, December 29, 2010
Rapuh Langkah Seorang Hamba
Posted by baLQis Zafira at 1:31 AM 0 comments
Tuesday, December 14, 2010
Buat hati tersenyum
Senyum. Senyum. Dan senyum lagi.
Hatinya tercuit jua kekadang pabila melihat gelagat dan tingkah manusia sekeliling.
Itulah ‘hiburan’ sementara yang bukan dibuat-buat mahupun direka-reka. Bukan kerahan tenaga yang diperlukan seperti seorang director mengarahkan filem komedinya. Plot dan watak harus dijaga keseimbangan agar lawak menjadi dengan situasi.
Tapi tidak ini. Ini realiti. Realiti sebuah kehidupan fana’.
Bukan niat untuk memperlekeh jauh sekali menghukum sifat manusia.
Cuma hati terusik, lalu impuls dihantar ke otak agar melarikkan sedikit senyuman di bibirnya.
Hakikatnya itulah kita. Manusia yang punya banyak kerenah dan ragam.
Senyum satu
Petang itu berlatarkan suasana sekitar perhentian bas yang cukup sibuk di bandar, menggamit rasa melihat lagi tabiat manusia di sekeliling melalui tingkap bas berhawa dingin itu. Sedang mengelamun, terlihat olehnya tiga orang remaja lelaki melalui kawasan perhentian yang penuh dengan manusia itu.
“Budak sekolah menengah barangkali”, fikirnya.
Berjalan dengan penuh gaya dengan kaca mata hitam, kemeja kotak-kotak ketiga-tiganya lagaknya seperti sang teruna filem lama. Gaya yang berani di khalayak ramai. Manakan tidak buat hati tersenyum lebar. Teringat watak-watak teruna dalam filem “Antara Dua Darjat” mahupun filem komedi “Seniman Bujang Lapuk” lakonan Tan Sri P.Ramlee.
Dalam mindanya cuma terdetik “How brave they are? Mungkin ada ‘geng’ kot, sebab tu diorang berani”, fikirnya lagi. Pengaruh rakan sebaya. Senyum. Teringat rangkap kata yang selalu digunakan untuk buat karangan fakta Bahasa Melayu.
Memandangkan mereka masih remaja, hatinya tersenyum lagi. Memang tidak dinafikan. Zaman remaja adalah satu zaman yang seronok, zaman mencuba perkara baru, zaman yang adakalanya boleh jadi pemberontakan di situ dek kerana terlalu mengikut putaran masa dan waktu. Hati terlalu tega waktu itu mencuba itu dan ini. Boleh jadi zaman kritikal juga dalam hidup seseorang itu. Kritikal kerana apa? Kerana impaknya cukup meninggalkan kesan di masa depannya.
Dia berdoa agar remaja-remaja lelaki tadi walaupun hebat gayanya di luar, hebat juga jiwa dan rohaninya di dalam dengan izinNya. Senyum.
Senyum dua
Sudah lama dia di situ. Sebuah restoran Melayu di tengah bandar, duduk sedari pagi tadi di sudut hujung yang strategik hanya memesan segelas teh tarik. Sedap, “kaw” pulak tu. Senyum. Dibukanya majalah islamik keluaran baru bulan itu. Ingin diisi masanya di situ dengan menambah ilmu, mudah-mudahan. Helaian demi helaian ditatap dan cuba difahami isi kandungannya.
Sedang leka membaca, meja di hadapan tempatnya dikunjungi sekumpulan manusia. Seorang ayah berkopiah putih yang sederhana tinggi orangnya bersama anak perempuan…1..2..3..4..dan 5! Ya..lima orang anak perempuannya. Semua masih kecil, lingkungan umur 3-12 tahun barangkali. Dan yang buat dia tersenyum, anak-anak perempuannya yang masih kecil itu semuanya bertudung…Masya-Allah! Senyum.
Matanya melingkari lagi mencari ibu mereka. Namun tiada. Kerja barangkali, atau mungkin sahaja ibu mereka di rumah bersama anak kecil. Dididik mindanya agar menjauhkan fikiran yang negatif, yang sia-sia.
Apa yang menariknya, di hadapannya kini terlihat bagaimana si ayah melayan satu persatu kerenah anaknya. Ditanya pada setiap seorang apa yang mereka mahu makan dan minum. Si anak perempuan berebut-rebut memberitahu. Senyum. Sangat comel keadaan tu. Senyum lagi dia. Disebabkan si anak yang paling kecil mungkin banyak kerenahnya, si ayah terus mengambilkan sepinggan mi goreng bersama sebatang sudu dan diletak di hadapan anak kecil itu. Anak kecil itu pun leka menghadap hidangannya. Maka mudahlah bagi si ayah melayan anak-anak yang lain. Dua orang kakak ditugaskan menemani adik kecil mereka makan sementara si ayah bersama dua anak perempuannya lagi mengambil makanan. Tugasan bergilir. Sekembalinya mereka, si kakak berdua tadi pun mendapatkan makanan mereka. Nice co-operation between them. Sejuk hati melihat. Senyum lagi.
Doanya agar keluarga tersebut sentiasa dilimpahi kasih sayang, si ayah sentiasa sabar dan tabah mendidik kesemua anak-anak perempuannya dan yang pasti doanya untuk anak-anak perempuan yang masih kecil itu agar menjadi muslimah sejati bila dewasa kelak. Senyum.
Senyum tiga
Di serah syiling 30 sen kepada lelaki India yang menjaga tandas awam. Petang itu hujan lebat, ditambah kesejukan dalam gerabak tadi, terhidrat rasanya. Sebab itu kerap air mineral diminum dalam gerabak tadi. Jadi, sebelum melalui perjalanan seterusnya, hajat mesti ditunaikan dulu. Senyum.
Tiga saat sebelum melangkah keluar semula, didengar lelaki India tadi melaungkan promosi. “Toilet..toilet! Murah je..mari-mari!”
Hati menggeletek senyum, lantas membuatnya ketawa perlahan.
Pandai betul dia buat lawak, fikirnya. Mungkin salah satu cara untuk menghiburkan hati melalui kerjanya dan orang sekeliling.
Hai..macam-macam. Senyum lagi dia. Hehe…
P/S: Senyum..tak perlu kata apa-apa! (Sokong…! Hehe)
Posted by baLQis Zafira at 1:25 AM 0 comments
Saturday, November 13, 2010
Egonya aku......
Kekadang aku terlalu biadab
menyoal-Mu
Kenapa aku...
tidak dia, tidak mereka
terasa egonya hati
terasa kasarnya jiwa
berhadapan dengan mahu-Mu
aku tidak redha
Ahh..aku si debu yang hina
terbang bagai habuk di kaki langit
sudah dikendong
ingin pula dijunjung
YA ALLAH....
berikanlah aku keredhaan itu
agar aku mampu merayu-rayu-Mu
YA ALLAH.....
berikanlah kelembutan hati
agar aku teleku, tunduk dan tersembam
di telapak redha-Mu......
[InsPiraSiku]
Posted by baLQis Zafira at 12:25 AM 2 comments
Tuah Hidayah
Senja itu berlabuh lagi. Baru sahaja azan Maghrib berkumandang mengingatkan ahlinya tentang kewajipan yang wajib dilaksanakan dan bersamanya juga dibawa ajakan mengerjakannya. Alhamdulillah. Namun, Qis masih di situ menghadap laptopnya- leka bermain game Mystery Case Files (MCF). Pening kepalanya mencari barang hilang. Aduhh… Dalam hatinya terdetik “ Isy, dah maghrib ni..habiskan game ni cepat!”
Di latar yang sama, terdengar ayahnya bising-bising lagi. Marahkan si isteri yang baru sahaja pulang kerja dan belum sempat meleraikan letihnya. Setiap hari begitu malah terkadang rimas juga dibuatnya. Herdikan yang cukup menjengkelkan hati. Sesiapa mendengar juga pasti merasa kurang senang.
Entah kenapa hati Qis panas lagi. Geram. “Apa sahaja yang tidak kena dalam rumah ni,” getus Qis. Lantas, Qis menutup laptopnya sambil mengomel sikap ayahnya yang tidak sudah-sudah itu. Tidak disangka omelannya itu didengar ayahnya yang sememangnya sedang baran ketika itu. Lalu Qis dijerkahnya. Gadis itu tergamam. Malas hendak melayan, Qis masuk ke bilik dan menutup pintu. Sungguh pun begitu, keadaan seolah-olah tidak mahu tenang. Jerkahan ayahnya masih bergema di luar pintu, malah lebih hebat lagi. Tuduhan pula yang menjadi mainan kata.
Qis tidak tertahan lagi. Dia keluar memberanikan diri berdepan dengan si ayah yang masih belum lekang dari amarah. Tidak pernah sekali pun selama ini Qis bertindak seberani begitu. Apa nak jadi..jadilah! Hatinya dirasuk amarah jua kerna tak sanggup menahan kata-kata yang tidak berasas dari mulut ayahnya sendiri. Itulah saat pertama Qis menentang kata ayahnya yang dirasakan tidak masuk dek akal. Matanya berlinang air mata tanpa henti, hatinya begitu mulus untuk bertindak sedemikian. Sudah lama dipendam rasa itu, malah letih memikirkannya setiap kali itu terjadi. Memang Qis tidak tahu apa-apa kisah antara suami isteri itu, tapi Qis tidak bodoh malah bukan dungu! Sedari kecil dimomokkan oleh cerita si ayah tentang ibunya yang tidak diketahui asal-usulnya, kebenaran ceritanya malah kesahihannya cukup diragui tapi Qis tidak selamanya kecil. Dia sudah cukup dewasa untuk membezakan yang hak dan yang batil secara logiknya mengikut pertimbangan akal dan ilmu.
Sekarang Qis pula menjadi sasaran. Sudah tinggi sangat ilmu sehingga pandai menentang ayah sendiri? Masih terngiang-ngiang kata-kata si ayah yang cukup pedih itu di pendengarannya. Bukan niat di hati Qis untuk melawan apatah lagi membela siapa dan siapa. Malam itu solatnya dibanjiri air mata, biliknya bergema tangisan yang tidak berkesudahan, malah kepalanya sakit yang teramat cuba melerai tangisan itu. Air mata yang tumpah tidak ketahuan sebabnya. Cuma sedih dengan sikap si ayah yang tidak berubah sifatnya, sedih tatkala mengenang kesabaran si ibu yang begitu tinggi melangit terhadap kata nista kepadanya, dan sedih sekali kerana dirinya telah melakukan dosa besar – melawan kata si ayah, meninggikan suara pada si ayah! Jauh sekali niat ingin melanggar syariat Islam yang lama tertanam menjadi prinsip dan amalan hidupnya.
Ampunkan aku Ya Allah…! Berkali-kali Qis melafazkan istighfar itu. Hatinya masih sakit pabila kata-kata si ayah yang tidak berkesudahan mengulang perkara yang sama terhadap dirinya. Terasa besar sungguh dosanya yang pada mulanya ingin melerai sengketa, tetapi disalah ertikan sebegitu rupa. Sakit hati ini Ya Allah mengenangkannya, namun itu harga yang perlu ku bayar kerana berani-berani melampaui sempadan rasa dan hati. Qis bermain rasa.
Luka hati itu terlalu dalam sehingga Qis berfikir ingin membawa diri malah meminta ditamatkan sahaja riwayatnya di dunia ini. Tidak sanggup rasanya merasai pahit dunia ini. Sudah tentu syaitan-syaitan yang menghasutku tadi sedang bersorak gembira meraikan kemenangan meracun hati anak Adam ini dengan amarah yang berapi terhadap lelaki yang banyak berjasa untuk diriku selama ini. Astaghfirullahal’azim. Istighfar Qis tercetus lagi. Malah tidak terhitung keampunan dari Allah diharapnya sepanjang malam itu sehingga tidurnya masih bersisa air mata.
Kepala Qis yang memberat malam tadi sudah beransur ringannya tatkala dia sedar keesokan paginya. Subuh ditunaikan, doa dipanjatkan kepada Yang Maha Penyayang mengharap redha dan keampunan ke atas dirinya. Sedari pagi hingga ke tengahari jiwanya masih kacau akan perihal semalam. Sememangnya dosa itu meresahkan hati! fikir Qis lagi. Masa berlalu sehingga masuk Zuhur, ditunaikannya solat dan sesudah itu digapainya kitab suci Al-Quran itu. Membuka lembaran di tempat dia berhenti, dan mula mengalunkan kalam Allah itu sebaik mungkin demi mencapai khusyuk terhadap pujukan ayat itu.
Maha Suci Allah! Tatkala terjemahan ayat pertama yang dibacanya cukup menyentuh hati. Cukup membuat hati Qis bergetar, seolah-olah Allah sedang memerhatikannya dan memujuknya agar kembali kepada fitrah.
Surah Ali ‘Imran ( 133-136 )
Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.
“Dan bersegeralah kamu mencari ampunan dari Tuhan-mu dan mendapatkan syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan bagi orang-orang yang bertakwa, yaitu orang yang berinfak, baik di waktu lapang mahupun sempit, dan orang-orang yang menahan amarahnya dan memaafkan (kesalahan) orang lain. Dan Allah mencintai orang yang berbuat kebaikan, dan (juga) orang-orang yang apabila mengerjakan perbuatan keji atau menzalimi diri sendiri, segera mengingat Allah lalu memohon ampunan atas dosa-dosanya, dan siapa (lagi) yang dapat mengampuni dosa-dosa selain Allah? Dan mereka tidak meneruskan perbuatan dosa itu, sedang mereka mengetahui. Balasan bagi mereka ialah ampunan dari Tuhan mereka dan syurga-syurga yang mengalir dibawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya. Dan itulah sebaik-baik pahala bagi orang-orang yang beramal.”
Qis sungguh bersyukur atas hidayah Allah yang sentiasa bersamanya sehingga ke saat ini.
“Sungguh Allah begitu menyayangiku, tidak mahu aku jauh dari kebaikan malah dihadirkannya dalam bentuk yang sungguh tulus dan telus ke dasar hati. Bertuahnya aku masih diberi hidayah dari Penciptaku yang sentiasa melihat dan mendengar rintihan hamba-Nya, malah masih menyayangiku yang hina dina ini sebagai hamba-Nya.” terlontar bait-bait kesyukuran Qis di rengkungan rasanya.
Nawaitu hatinya telah berkata agar bertindak segera. Jangan ditangguh lagi. Akan di pohon keampunan kepada si ayah atas keterlanjuran yang tidak disengajakan, atas kata yang menyakitinya, atas tindakan yang tidak semena-mena. Qis berjanji menjadi anak yang baik untuk ibu dan ayahnya walau seburuk mana pun mereka, mereka tetap di hati, yang telah melahir dan menjaga dirinya sehingga kini dengan penuh kasih sayang.
Bertuahnya aku masih miliki hidayah Allah yang mahal itu, malah masih miliki ibu ayah di sisi…! ALHAMDULILLAH Ya Allah. Qis gembira, hatinya seolah-olah hidup semula. Dia melangkah penuh yakin ke arah si ayah yang baru pulang dari kerja. Maafkan Qis, ayah!
p/s: Semua ini dugaan dan cabaran hidup, belajarlah sesuatu dari ujian yang ditimpakan pada kita – setiap kebaikan dan kejahatan yang terjadi semuanya punya hikmah, terpulang kepada diri kita menilainya dan meletakkan acuan untuk hidup kita kelak.
Posted by baLQis Zafira at 12:06 AM 0 comments
Friday, October 22, 2010
MUTUALISM - memang berbaloi..!
Dua konsep timbal-balik yang cukup mudah. Meminta maaf dan memberi maaf. Kalau dilihat dari sudut saintifik yang seakan-akannya mungkin sahaja membawa kepada mutualism.
MUTUALISM??? Jom kita selak sebentar kamus saintifik.
Terjemahannya ialah suatu hubungan di mana kedua-dua organisma mendapat faedah daripada hubungan itu.
Wah…kedengarannya begitu mudah, bukan? Tapi bukan istilah saintifik ini yang ingin diselami cuma sekadar mendatangkan idea baru yang seakan-akan mudah untuk kita lihat betapa sudut meminta dan memberi maaf adalah konsep yang cukup mudah untuk disebandingkan dengan hubungan mutualism ini.
Pasti antara kita banyak silap dan salahnya kepada makhluk. Ya! Kerana kita ini manusia yang tidak sempurna sifatnya. Secara langsung atau tidak langsung, secara nawaitu ataupun tidak sememangnya manusia sifatnya tidak lepas dari kesalahan dan kekhilafan. Ibarat pepatah Melayu pernah menyebut bumi mana tidak ditimpa hujan begitu jualah insan yang tidak luput dek tersalah kata dan tingkah. Dalam nyata mahupun tersembunyi, yang tersurat bahkan tersirat kadang tidak kita sedari sebenarnya mungkin kita telah menyinggung mahupun mengguris rasa orang-orang disekeliling kita. Kepada ibu bapa, adik-beradik, sahabat handai, kawan sekerja, orang tersayang malah kepada insan yang tidak pernah dikenali. Ya, semua…semua di sekeliling kita, yang tercipta interaksi antara kita dengan mereka.
Jika sedar, alangkah syukurnya kerana tahu kita bersalah dan peluang memohon maaf itu wujud. Jika tidak sedar, alangkah ruginya kerana semakin tidak sedar, semakin bertimbun kata maaf yang tidak terucapkan. Malah, tanpa sedar lagi hati begitu teruja mengulangi kesilapan dan kesalahan yang telah dianggap satu kebiasaan. Na’uzubillah. Namun, sebaliknya syukur kiranya kita telah dimaafkan tanpa sedar kita tahu kesilapan kita. Kredit kepada si pemberi maaf yakni kepada sesiapa yang mudah memaafkan…!
Berbalik kepada tajuk entri ini, sememangnya perbuatan meminta maaf dan memberi maaf itu membawa kepada mutualisme-faedah untuk kedua-dua pihak yang terlibat. Mana tidaknya, yang meminta maaf dan yang memberi maaf sama-sama menundukkan ego, merendahkan hati mengakui kesilapan dan berlapang dada me’neutral’kan rasa ke arah keseimbangan hubungan. Al-hasil, dengan izin-Nya kedua-dua pihak belajar sesuatu dari ketidakseimbangan yang terjadi. Mudah-mudahan.
Andai hati masih resah, jiwa masih kacau, nubari masih terganggu dek kesalahan dan kesilapan yang disedari mahupun tidak….kembalilah kepada fitrah. Fitrah yang sukakan kebaikan dan kedamaian. Leraikan rasa yang membelenggu dengan koreksi diri menyelami silap dan salah kita kepada makhluk (manusia) dan memaafkan kesalahan manusia pada kita. Teringat kata-kata motivasi seorang pakar motivasi terkenal, tips yag sampai kini melekat dalam kotak minda…”Maafkan semua orang sebelum tidur.” Mudah-mudahan cas-cas kebaikan yang kita hadirkan akan menarik lebih banyak cas-cas kebaikan untuk diri kita. InsyaAllah.
Teratak hati gunung mas, tampin
19 Oct 2010
Posted by baLQis Zafira at 2:04 AM 2 comments